KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Perkahwinan dan menjadi ibu bapa yang suatu ketika dahulu dianggap perjalanan hidup semula jadi, kini tidak lagi menjadi keutamaan di Malaysia.
Kenaikan kos sara hidup, tuntutan kerjaya dan perubahan nilai sosial mendorong ramai pasangan muda menangguhkan kelahiran anak, malah ada yang mempertimbangkan semula sama ada mahu berkeluarga.
Bagi sebahagian pasangan Cina dan India Malaysia yang ditemu bual Media Selangor, perjalanan membina keluarga hadir dengan suka duka. Kisah mereka mencerminkan keseimbangan rapuh antara cinta, realiti kewangan dan harapan masyarakat, selain memperlihatkan trend penurunan kadar kelahiran merentasi kaum.
“Beban kewangan itu memang nyata. Hidup di bandar sangat mahal, jadi ramai pasangan seperti kami rasa perlu menyimpan dahulu sebelum fikir soal anak,” kata Sri Ram Ganeson, 32, yang sudah setahun berkahwin tetapi belum bercadang menimang cahaya mata.
Beliau berkata cita-cita kerjaya dan waktu kerja panjang juga menjadi faktor apabila pasangan berpendapatan dua hala bergelut mencari masa untuk bersama.
Menurut laporan Unjuran Populasi 2020-2060 Jabatan Perangkaan (DOSM), walaupun populasi Malaysia dijangka terus meningkat dan memuncak kepada 42.38 juta pada 2059, kadar pertumbuhan akan merosot ketara daripada 1.7 peratus pada 2020 kepada hanya 0.1 peratus menjelang 2060.
Dalam tempoh itu, peratusan Bumiputera diramal naik daripada 69.4 peratus (2020) kepada 79.4 peratus (2060), manakala peratusan kaum Cina dijangka susut daripada 23.2 kepada 14.8 peratus dan India daripada 6.7 kepada 4.7 peratus.
Trend sama turut kelihatan di Selangor, dengan populasi Bumiputera diramal naik daripada 60.6 peratus (2020) kepada 69.9 peratus (2060), manakala Cina (27.3 ke 20.3 peratus) dan India (11.3 ke 8.6 peratus) dijangka menurun.
Cari keseimbangan dalam keibubapaan moden
Bagi Chen Woei Foong, 37, dan Wong Siao Yiin, 37, kehidupan berkeluarga empat orang memenatkan. Hasrat menambah anak ketiga tidak pernah wujud, khususnya dengan kos sara hidup dan pendidikan yang kian meningkat setiap tahun.
“Dua anak sudah cukup, hidup terasa lengkap. Bagi kami, ini memadai,” kata pasangan itu.

Mereka berkahwin pada 2017 selepas 10 tahun bercinta. Tidak lama kemudian, kelahiran anak lelaki pertama yang tidak dijangka, diikuti anak perempuan tiga tahun kemudian melengkapkan keluarga kecil mereka.
Namun di sebalik kegembiraan, terselit realiti mencabar. Seperti kebanyakan keluarga dua pendapatan, Chen dan Wong sering kepenatan selepas bekerja, terhimpit antara tuntutan kerjaya dan keinginan meluangkan masa dengan anak.
“Itulah paradoks ibu bapa moden. Kami mahu berjaya dalam kerjaya, tetapi juga mahu jadi ibu bapa yang baik,” kata Wong.

Mereka juga berpendapat anak wajar dilihat sebagai lanjutan kasih sayang, bukan sekadar jaminan masa depan.
“Kalau tidak bersedia dari segi mental atau emosi, terburu-buru hanya akan menyakitkan semua pihak. Tekanan kemiskinan dalam rumah tangga bukan sekadar peribahasa, ia realiti,” kata mereka.
Seperti Chen dan Wong, pasangan Ng Tze Wai, 35, dan Goh Han Meng, 34, juga rasa cukup dengan dua anak - seorang anak perempuan berusia tujuh tahun dan bayi lelaki enam bulan - tanpa perancangan menambah lagi.

Kos sara hidup menjadi faktor utama keputusan mereka. Pasangan itu memilih menumpukan kasih sayang dan sumber kepada dua anak, malah Ng sanggup berhenti kerja untuk menjadi ibu sepenuh masa.
“Tekanan kewangan memang ada. Kami bajet dengan ketat dan berbelanja hanya pada keperluan,” katanya.
“Sebab itu boleh difahami mengapa ramai anak muda hari ini enggan berkeluarga, memikirkan kos dan tekanan besar. Tetapi bagi kami, membesarkan anak itu tidak ternilai.”
Usaha mudahkan jalan berkeluarga
Bagi jurutera projek solar, Thashinavel Suppiah, 35, cabaran terbesar adalah mencari pasangan hidup yang sesuai.
Katanya, dengan kos hidup yang meningkat, keputusan besar seperti berkahwin dan berkeluarga semakin menakutkan, menyebabkan beliau lebih rela menunggu daripada terburu-buru.
“Dulu ramai pasangan India kahwin muda kerana tekanan keluarga, tetapi hari ini ia bukan lagi kebiasaan. Dalam kes saya, keluarga mula bertanya apabila saya capai umur 35,” katanya.

Bagi menggalakkan lebih ramai berkahwin dan membina keluarga, Thashinavel berpandangan dasar seperti penjagaan kanak-kanak mampu milik, cuti ibu bapa lebih baik dan susunan kerja fleksibel sangat penting.
“Kalau kerajaan beri lebih banyak insentif dan sokongan tempat kerja kepada keluarga muda, terutama minoriti, isu ini boleh ditangani dengan berkesan,” katanya.
Sri Ram turut bersetuju, sambil mencadangkan kerajaan meneliti dasar kerja fleksibel dan skim bantuan kewangan yang disesuaikan untuk komuniti minoriti dan pasangan muda yang mahu menimang cahaya mata.