ad

“Nepal Touching Souls”: Merentas benua, menyentuh jiwa

16 Sep 2025, 1:01 AM
“Nepal Touching Souls”: Merentas benua, menyentuh jiwa
“Nepal Touching Souls”: Merentas benua, menyentuh jiwa
“Nepal Touching Souls”: Merentas benua, menyentuh jiwa
“Nepal Touching Souls”: Merentas benua, menyentuh jiwa
“Nepal Touching Souls”: Merentas benua, menyentuh jiwa

SHAH ALAM, 16 SEPT: Di Malaysia, tetamu disambut dengan ucapan mesra ‘Selamat Datang’, manakala di Nepal, sapaan ‘Namaste’ menyulam salam penuh hormat.

Berbeza budaya, berlainan bahasa tetapi kedua-duanya menandakan hati yang terbuka dan ikhlas menerima.

Itulah yang cuba diketengahkan melalui pameran fotografi "Nepal Touching Souls", sebuah jemputan untuk merasai denyut nadi sesuatu bangsa.

Setiap foto dipamer seakan-akan membawa kita menelusuri lorong berbau tanah basah selepas hujan, menjenguk dapur sederhana hinggalah senyuman tulus menyapa tanpa prasangka.

Kurator pameran, Grace Ho Pui Wan, 54, mengakui keikhlasan penduduk Nepal begitu jelas terasa.

Wajah-wajah tenang, tangan yang ringan menghulur dan senyuman ikhlas meskipun hidup serba sederhana.

Kurator pameran Grace Ho Pui Wan, 54. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Mereka berkongsi secangkir cha (teh) panas bukan kerana berlebihan, tetapi kerana percaya kebaikan itu seperti aliran sungai, jernih selagi terus mengalir.

“Seluruh masyarakat hidup harmoni. Mereka menerima takdir dengan lapang hati,” kata Grace yang juga pengurus besar di sebuah syarikat pembinaan.

Ketika lensa kamera merakam memori yang dikumpul selama dua tahun untuk dibawa pulang ke Malaysia, gema kebaikan itu mengingatkan beliau kepada Kampung Mangkuk di Setiu, Terengganu.

Sebuah perkampungan nelayan yang indahnya bukan sekadar pada landskap tetapi jiwa penghuninya.

“Walaupun baru pertama kali menjejakkan kaki ke sana, sambutan mereka membuat saya rasa seperti sudah lama dikenali.

“Pagi itu saya sempat merakam gambar kanak-kanak ke sekolah dan berbual-bual mesra dengan penduduk. Semuanya berlaku begitu tulus, tanpa rasa janggal,” katanya.

Pengalaman di dua tempat berbeza ini membuka mata Grace mengenal erti syukur dalam kesederhanaan.

Duta Nepal ke Malaysia Dr Netra Prasad Timsina (lima, kiri) bersama kurator yang menjayakan pameran foto Nepal Touching Souls di Kokopelli Templer, Petaling Jaya. Foto Lee photos Malaysia, Robin Wong

Nelayan di perkampungan itu mungkin pulang dengan hasil tangkapan sekadar cukup makan, tetapi mereka sanggup berkongsi rezeki dengan jiran atau tetamu.

Begitu juga di Nepal, seorang bapa yang berjalan di lorong kota sambil memikul hasil rezeki masih mampu tersenyum, seolah-olah tiada beban di bahunya.

“Bagi kedua-dua komuniti ini, kebahagiaan tidak pernah diukur dengan kemewahan. Ia lahir daripada kesederhanaan.

“Semua itu menjadi memori terindah yang menyingkap persamaan dua dunia berbeza,” luah ibu kepada dua anak ini dengan penuh syukur.

Seorang lagi kurator, Lim Swee Hoe, 64, turut mengakui pengalaman di Nepal benar-benar membuka matanya.

“Kemesraan yang ditunjukkan sangat menusuk jiwa kerana mereka melayan tetamu dengan ikhlas walaupun kami orang asing.

“Senyuman dan bantuan tanpa mengharapkan balasan, ia pengalaman yang mahal dan unik,” katanya.

Kurator pameran Lim Swee Hoe, 64. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Kini, suasana itu dipindahkan ke dinding galeri. Puluhan foto dipamerkan bukan sekadar gambar, tetapi serpihan kisah penuh makna.

Sama ada di kaki pergunungan Himalaya atau di pinggir Laut China Selatan, ketulusan manusia tetap sama. Ia hadir tanpa syarat, membalut luka dunia dengan kebaikan kecil yang sederhana.

Pameran yang menampilkan karya indah dan penuh jiwa lapan jurugambar Malaysia bersama dua lagi jurugambar dari Hong Kong berlangsung di Galeri Kokopelli, Jalan Templer, Petaling Jaya dari 9 Ogos hingga 14 September.

Himpunan visual mereka benar-benar memukau, seolah-olah membawa pengunjung terbang jauh ke pergunungan Himalaya.

Ia juga menghimpunkan memori, emosi dan keindahan yang mengingatkan kita bahawa hati manusia mampu menjadi jambatan jurang benua dan budaya.

Antara foto menarik di pameran "Nepal Touching Souls" berlangsung dari 10 Ogos hingga 14 September di Kokopelli Templer, Petaling Jaya. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.