SHAH ALAM, 15 SEPT: Beberapa kawasan sekitar Hulu Langat yang dinaiki air susulan hujan lebat awal pagi tadi, telah surut sepenuhnya.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Datuk Johan Abdul Aziz berkata ketika ini proses pembersihan giat dijalankan dengan bantuan pelbagai pihak.
"Kawasan yang paling teruk terjejas semalam adalah Dusun Tua, Batu 16, Sungai Serai dan Batu 18, namun kebanyakan penduduk yang dipindahkan sudah kembali ke rumah masing-masing.
"Sekarang fokus kita adalah membantu penduduk membersihkan rumah dan persekitaran. PPS seperti di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai telah dikenal pasti sebagai lokasi penempatan sekiranya berlaku banjir semula. Kita berdoa supaya jangan berlaku macam 2021," katanya kepada Media Selangor.
Menurut penduduk menerusi beberapa hantaran di media sosial, paras air Sungai Langat mula meningkat sekitar jam 4.30 pagi sebelum melimpah ke jalan utama berdekatan, sekali gus mengakibatkan rumah berhampiran dimasuki air.
Dalam perkembangan lain, Johan menjelaskan beberapa tapak pembuangan sampah berhampiran sungai termasuk di Batu 18 telah ditutup sejak dua minggu lalu bagi mengelakkan pencemaran serta risiko kesihatan.
"Majlis perbandaran sedang merangka kaedah baharu untuk pengurusan sampah di kampung-kampung dan akan membentangkannya minggu depan. Kita akan berbincang dengan ketua-ketua kampung supaya sistem kutipan lebih teratur dan tidak berlaku pembuangan haram.
"Selain itu, langkah jangka pendek turut melibatkan kerja mendalamkan, melebarkan dan membersihkan sungai serta pengorekan pasir. Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) juga bermesyuarat setiap bulan bagi memastikan paras pasir tidak terlalu tinggi sehingga menyebabkan air mudah melimpah," katanya.
Beliau turut mengingatkan penduduk agar bekerjasama menjaga kebersihan serta menggunakan lokasi pelupusan sampah yang disediakan supaya masalah sama tidak berulang.