ad

EXCO: Pembangunan semula flat lama di Selangor bergantung kelulusan Parlimen

15 Sep 2025, 3:27 AM
EXCO: Pembangunan semula flat lama di Selangor bergantung kelulusan Parlimen

SHAH ALAM, 15 SEPT: Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) hanya boleh dijalankan selepas ia diluluskan di peringkat Parlimen, tegas EXCO Kerajaan Tempatan.

Menurut Dato’ Ng Suee Lim, Kerajaan Selangor masih tertakluk kepada undang-undang sedia ada yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selangor ialah sebuah negeri maju dengan pembangunan yang pesat serta jumlah penduduk melebihi 7.2 juta orang.

“Terdapat banyak flat lama berusia lebih 50 tahun yang memerlukan pembaharuan semula, namun kita tidak dapat mengambil sebarang langkah selagi akta ini belum diluluskan Parlimen,” katanya.

Memetik laporan Sinar Harian semalam, beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan itu berkata ketika ini pihak Kerajaan Negeri sedang menunggu perkembangan perbincangan dan sesi libat urus yang sedang dijalankan.

Suee Lim menambah, Kerajaan Persekutuan kini sedang berbincang dengan semua pihak termasuk pembangkang bagi memastikan setiap pandangan diambil kira sebelum RUU tersebut dimuktamadkan.

“Saya percaya hasrat asal RUU ini adalah baik, iaitu bagi menangani isu kediaman lama yang usang, lif rosak serta persekitaran yang kotor dan tidak terurus, yang telah lama dihadapi rakyat.

“Tujuan RUU ini bukan untuk merampas hak pemilik rumah atau menindas sesiapa, sebaliknya demi manfaat rakyat yang telah tinggal di flat lama ini lebih dari 50 tahun,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa isu ini tidak sepatutnya dijadikan alat politik kerana ia melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Jangan hanya mahu menunjukkan hero demi kepentingan politik tanpa memikirkan keadaan penghuni flat yang serba kekurangan.

“Apa yang paling penting ialah mendengar semua pandangan, menguruskan perkara ini dengan sebaiknya, dan memastikan apabila RUU ini diluluskan kelak, ia benar-benar memberi manfaat kepada semua rakyat, khususnya di Selangor,” katanya lagi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.