ad

Trend minum kopi berlebihan, makanan segera faktor serangan jantung usia muda

15 Sep 2025, 3:40 AM
Trend minum kopi berlebihan, makanan segera faktor serangan jantung usia muda
Trend minum kopi berlebihan, makanan segera faktor serangan jantung usia muda

SHAH ALAM, 15 SEPT: Gaya hidup tidak sihat termasuk pengambilan kafein berlebihan, tabiat makanan segera dan kurang bersenam antara faktor peningkatan kes serangan jantung melibatkan belia.

Ketua Health Screening Service KPJ Klang Specialist Hospital Dr Shobana Supramaniam berkata kes serangan jantung meningkat sebanyak 30 peratus dalam tempoh 10 tahun ini, dengan lima hingga 10 peratus daripadanya membabitkan golongan belia.

Beliau berkata perubahan corak hidup generasi muda menyebabkan berlaku kes serangan jantung seawal umur 20-an.

“Malaysia merekodkan kes serangan jantung termuda membabitkan mangsa berumur 18 tahun pada tahun lalu. Sebelum ini, kes termuda pada tahun 2022 melibatkan mangsa berumur 25 tahun.

“Jika dahulu penyakit darah tinggi dan kencing manis hanya dialami ketika usia 50-an, kini pesakit pada usia awal 30-an sudah menghidap diabetes dan hipertensi. Ada pesakit berusia 32 tahun, luaran nampak sihat tetapi bacaan gula dan tekanan darah tinggi,” katanya dalam program Bicara Semasa, baru-baru ini.

Beliau berkata, kebanyakan remaja mula mengambil makanan segera sejak kecil sehingga menjadi kegemaran, sekali gus menyebabkan obesiti berkekalan hingga dewasa.

"Daripada tiga kes obesiti, dua daripadanya akan hidap darah tinggi dan kencing manis. Kenapa ini berlaku? Sebab gaya hidup kita.

“Malah pengambilan kafein berlebihan pun punca. Minum kopi telah jadi trend. Dalam sehari mungkin kita boleh minum dua gelas kopi, tetapi ada pesakit yang saya tanya minum lapan gelas kopi sehari. Kafein, makanan segera termasuk pewarna dalam makanan penyebab kes serangan jantung,” katanya.

Dr Shobana turut menasihatkan orang ramai agar melakukan senaman ringan sekurang-kurangnya 30 minit sehari dan mengurus tekanan dengan cara positif termasuk tidur mencukupi, minum air kosong, mengurangkan kafein serta mendengar muzik.

“Jangan beri alasan, kita boleh cari masa. Kita boleh bersenam seawal jam lima atau enam pagi. Lewat malam pun boleh bersenam dengan melakukan senaman berjalan perlahan. Cari masa sekurang-kurangnya 30 minit dari 24 jam untuk bersenam," katanya.

Beliau juga menyarankan orang ramai menggunakan jam pintar sebagai alat pemantauan kesihatan harian.

“Jam tangan pintar mampu mengesan tahap stres dan menyimpan rekodnya. Jam pintar juga merekod jumlah langkah harian. Jadi, ia boleh menggalakkan kita untuk menambah jumlah langkah dari sehari ke sehari. Jam tangan pintar boleh memberi peringatan jika duduk terlalu lama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan senaman perlu dilakukan dengan selamat mengikut had maksimum degupan jantung iaitu 220 ditolak umur anda.

“Contoh, jika umur anda 20 tahun, had degupan jantung iaitu 220 ditolak 20. Jadi, had maksimum degupan jantung anda ialah 200 seminit. Bagi umur 60 tahun pula, hadnya ialah 160 seminit. Jangan melebihi tahap itu,” jelasnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.