KLANG, 14 SEPT: Seorang bapa menyifatkan kemenangan sasteranya sebagai rezeki buat anak yang terlantar di hospital akibat demam berpanjangan.
Perjalanan dari Melaka ke Klang bukan sekadar menunaikan janji kepada penganjur, tetapi juga harapan membawa pulang khabar gembira buat anak tersayang.
"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Anak saya sudah seminggu demam dan kini di hospital, jadi saya anggap kemenangan ini rezeki untuknya," kata pemenang utama kategori Sajak 2023, Hadiah Sastera Selangor, Ariff Mustaffa Hamzah.
Salah satu karyanya yang diiktiraf adalah, 'Parabellum, lahir daripada inspirasi filem 'John Wick'.
"Bermakna jika mahukan keamanan, bersedialah untuk berperang. Dari situ saya kembangkan dengan situasi peralihan kuasa yang agak pelik dulu, kemudian sadurkan dengan fiksyen hingga terhasil sajak ini," jelasnya.
Lebih daripada kemenangan peribadi, beliau melihat anugerah itu sebagai bukti Selangor terus menjadi tanah subur buat pengkarya dari seluruh negara.
"Terima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana membuka peluang kepada semua, bukan hanya anak jati negeri ini. Untuk menembusi media seperti Selangorkini bukan mudah kerana tahap kualitinya tinggi, dengan hanya satu ruangan sastera diperuntukkan setiap minggu.
"Sebab itu Hadiah Sastera Selangor sangat bermakna. Ia memberi ruang alternatif dan pengiktirafan besar," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemenang utama dari Borneo, Nasser Mikraj, tidak menyangka karyanya dipilih dalam kategori sajak.
"Saya menjangka cerpen yang akan menang. Rupa-rupanya sajak pula dipilih, malah diberi hadiah utama. Saya agak terkejut," katanya selepas majlis penganugerahan.
Karyanya, 'Klise Encik Ben', lahir daripada pengalaman peribadi serta pemerhatian rapat terhadap pergolakan pekerja kolar putih dalam masyarakat hari ini, yang turut melibatkan sahabatnya.
"Kalau dalam konteks sajak, saya tidak dapat menulis sekiranya tidak mengalaminya. Selepas melalui pengalaman itu barulah saya mampu mempotretnya sebagai kata-kata," ujarnya.
Dedikasinya terhadap sastera turut dizahirkan melalui perjalanan jauh merentas Laut Cina Selatan untuk hadir ke majlis berprestij itu.
"Saya sanggup datang kerana inilah suasana yang kita mahukan. Suasana seperti ini tidak selalu ada, mungkin setahun atau dua tahun sekali.
"Jadi kalau ada peluang, saya hadir dan saya akan terus berkarya kerana penulisan tidak boleh mati di situ, mungkin selepas ini esei pula," kata anak Sabah yang pernah meraih hadiah utama kategori cerpen 2019.
Beliau menambah, sokongan Kerajaan Selangor melalui Hadiah Sastera Selangor memberi nafas baharu kepada dunia penulisan tanah air.
"Kalau boleh, biarlah anugerah seperti ini bukan sahaja bertahan 10 tahun, tetapi berpuluh-puluh tahun. Supaya generasi sekarang hingga akan datang terus meraih manfaat," katanya.