ad

Skim galakan kelahiran klan Cina kurang sambutan di Selangor

14 Sep 2025, 12:13 AM
Skim galakan kelahiran klan Cina kurang sambutan di Selangor

SHAH ALAM, 14 SEPT: Beberapa persatuan klan Cina mula menawarkan insentif kewangan bagi menggalakkan pasangan muda menambah bilangan anak, namun sambutannya kekal dingin dengan jumlah permohonan yang sangat rendah dari tahun ke tahun.

Pemimpin persatuan Cina di Selangor mengakui inisiatif itu tidak banyak mengubah sikap belia terhadap perkahwinan dan perancangan keluarga.

Presiden Persatuan Fui Chiu Klang, Louis Chen berkata skim galakan kelahiran yang diperkenalkan pihaknya pada 2023 hanya menerima respons kecil.

Presiden Persatuan Fui Chiu Klang, Louis Chen. Foto MEDIA SELANGOR

“Tahun pertama hanya tiga pasangan memohon. Tahun kedua pula, cuma satu pasangan. Walaupun niat baik, skim ini sahaja tidak cukup untuk mengatasi kos sara hidup tinggi dan tekanan dihadapi keluarga muda,” katanya kepada Media Selangor.

Skim itu menawarkan RM500 bagi anak pertama, RM600 anak kedua, RM800 anak ketiga dan RM1,000 untuk anak keempat dan seterusnya.

Chen berkata pihaknya bercadang mengadakan lebih banyak sesi libat urus bersama ahli muda bagi memahami pandangan mereka tentang perkahwinan dan keibubapaan, selain menimbang penganjuran ceramah bersama pakar untuk memupuk kesedaran tentang nilai membesarkan anak.

Data ramalan penurunan populasi

Menurut laporan Unjuran Penduduk 2020–2060 Jabatan Perangkaan Malaysia yang dikeluarkan pada 11 Julai sempena Hari Penduduk Sedunia 2025, jumlah Bumiputera dijangka meningkat daripada 69.4 peratus pada 2020 kepada 79.4 peratus pada 2060.

Sebaliknya, populasi Cina diramal merosot daripada 23.2 peratus kepada hanya 14.8 peratus, manakala India menurun daripada 6.7 peratus kepada 4.7 peratus.

Di Selangor, populasi Bumiputera dijangka naik daripada 60.6 peratus pada 2020 kepada 69.9 peratus pada 2060, sementara masyarakat Cina turun daripada 27.3 peratus kepada 20.3 peratus dan India menyusut daripada 11.3 peratus kepada 8.6 peratus.

Kebimbangan masa depan

Chen turut melahirkan kebimbangan terhadap implikasi jangka panjang penyusutan jumlah masyarakat Cina di Malaysia.

“Kami bimbang kemerosotan demografi berterusan boleh menjejaskan keterwakilan dan pengaruh komuniti Cina dalam pembangunan negara,” katanya.

Menurutnya, semakin ramai belia mengutamakan kebebasan peribadi berbanding struktur keluarga tradisional.

“Dengan kebanyakan isi rumah bergantung pada dua pendapatan, sukar bagi ibu bapa mengimbangi kerjaya dan tanggungjawab membesarkan anak. Kos pendidikan dan penjagaan pula semakin membebankan. Idea ‘membesarkan anak untuk hari tua’ sudah tidak lagi relevan,” ujarnya.

Pengerusi Persatuan Keturunan Liu Petaling Dr Winnie Low. Foto MEDIA SELANGOR

Skim galakan kelahiran tiada sambutan

Pengerusi Persatuan Keturunan Liu Petaling Dr Winnie Low pula berkata Persekutuan Klan Liu Malaysia memperkenalkan skim galakan kelahiran tahun lalu dengan tawaran RM500 dan set barang kemas emas bernilai RM2,800 bagi setiap kelahiran.

“Namun, mengejutkan tiada langsung sambutan,” katanya.

Beliau menegaskan kadar kelahiran rendah dalam komuniti Cina bukan sekadar soal kewangan, sebaliknya mencerminkan perubahan budaya lebih luas.

“Anak muda hari ini mengutamakan perkembangan diri dan autonomi. Ramai melihat perkahwinan serta keibubapaan sebagai beban. Dengan kos rumah, kesihatan dan pendidikan yang tinggi, mempunyai anak tidak lagi dianggap perlu untuk hidup bahagia,” jelasnya.

Low menambah peningkatan bilangan wanita Malaysia berpendidikan tinggi turut mendorong mereka mengutamakan kerjaya berbanding membina keluarga.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.