KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Seorang lelaki tetap bersemangat menyambut Hari Malaysia walaupun terpaksa berkerusi roda ketika acara Keretapi Sarong 2025, di Raintree Tun Razak Exchange (TRX).
Lumpuh sebelah badan sejak dua bulan lalu, Mohd Azrol Awang Long, 35, tetap bersiap seawal jam 5 pagi sebelum berkumpul bersama lebih 1,000 peserta di Stesen Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Sri Damansara Sentral.
Anak saudaranya, Siti Khadijah Maisarah Mukhtar, 18 berkata bapa saudaranya itu yang turut mengalami masalah percakapan menyertai acara tersebut buat kali pertama.

“Saya bawa bapa dan emak saudara dari Damansara Damai hari ini dan kami pakai baju tradisional Melayu. Pakai apa saja yang ada asalkan bapa saudara saya (Mohd Azrol) gembira.
“Dari awal lagi dia asyik tersenyum tengok persembahan dan gembira melihat orang ramai berpakaian cantik semata-mata mahu menyemarakkan sambutan Hari Malaysia,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Alice Low, 51, sanggup mengajak anaknya, Chung Weng Kuan, 20, menyertai program itu selepas tertarik dengan promosi lokasi misteri yang diumumkan penganjur utama, LOCCO, menerusi TikTok.

“Emak saya tengok video di TikTok, mereka kata akan berkumpul di lokasi rahsia. Dia tertanya-tanya, kenapa mesti pakai pakaian tradisional dan berkumpul di lokasi rahsia, sebab itu kami sanggup datang daripada Kajang.
“Hari ini kami kenakan pakaian tradisional kaum Cina, Hanfu. Dah lama beli tapi tidak pernah pakai, tidak sangka boleh guna hari ini,” katanya.
Turut mencuri perhatian ialah Qeeqee Amizahtul Dania, 18, anak jati Sarawak yang sanggup menyewa pakaian tradisi wanita Iban, Ngepan, dengan harga RM200 demi memeriahkan program.

Pelajar tingkatan enam itu kali kedua menyertai acara berkenaan dengan ditemani rakan sekelas.
“Saya sanggup sewa sebab bila berpakaian sebegini rasa bangga dan mungkin orang asing pun boleh belajar dan tahu sebenarnya Malaysia ada pelbagai etnik. Tahun lepas saya datang memakai kebaya Baba Nyonya, kali ini pakai baju tradisional orang Sarawak,” ceritanya.
Pensyarah Kanan Universiti Sunway, Jennifer Rathavai, 57, pula tampil anggun dengan kebaya Baba Nyonya bewarna unggu. Anak kelahiran Melaka itu sudah lebih tiga kali menyertai acara berkenaan.

“Hari ini saya datang dengan lebih 20 ahli Persatuan Peranakan Baba Nyonya Kuala Lumpur & Selangor. Rakyat Malaysia bertuah kerana kita boleh hidup dalam suasana aman harmoni walaupun ada banyak kaum.
“Program sebegini bukan sekadar mengeratkan hubungan, tetapi sebenarnya perkara paling dalam adalah kita patut bersyukur kerana hubungan baik ini tidak pernah tergugat,” katanya.
Acara Keretapi Sarong mula diperkenalkan komuniti LOCCO Malaysia pada 2012 dan menjadi tradisi tahunan sempena Hari Malaysia.
Pemilihan kain sarung sebagai tema kempen melambangkan warisan budaya bersama rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama.
RapidKL, selaku penaja utama program itu memaklumkan perjalanan Keretapi Sarong 2025 bermula dari 10 stesen Rapid KL.