ad

PM kutuk serangan Israel ke atas enam negara dalam tempoh beberapa hari

13 Sep 2025, 7:48 AM
PM kutuk serangan Israel ke atas enam negara dalam tempoh beberapa hari
PM kutuk serangan Israel ke atas enam negara dalam tempoh beberapa hari
PM kutuk serangan Israel ke atas enam negara dalam tempoh beberapa hari

ISKANDAR PUTERI, 13 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan biadab rejim Zionis yang semakin bermaharajalela melakukan serangan ke atas enam negara.

Perdana Menteri berkata tindakan itu menunjukkan betapa agresif dan tidak berperikemanusiaan rejim berkenaan yang disokong secara terbuka oleh kuasa besar dunia.

“Satu negara boleh biadab dengan begitu rupa, dalam seminggu dua menyerang enam negara,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Anwar berkata Malaysia akan menegaskan dukungan kepada perjuangan rakyat Palestin serta mengutuk keganasan dan kebiadaban Zionis yang tidak berperikemanusiaan pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam yang akan diadakan di Doha, Qatar Isnin ini.

Perdana Menteri berkata beliau tidak dapat menghadiri beberapa acara rasmi diatur di tanah air yang dijadualkan esok dan lusa memandangkan beliau perlu menghadiri sidang berkenaan yang disifatkannya sangat penting.

Anwar menerima jemputan rasmi Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani untuk menghadiri sidang kemuncak itu bagi membincangkan situasi kritikal di Palestin, khususnya di Gaza.

Media antarabangsa melaporkan Israel melancarkan serangan ke atas enam negara dalam tempoh hanya tiga hari termasuk Qatar, Palestin, Lubnan, Syria, Tunisia dan Yaman.

Ini termasuk serangan dron terhadap sebuah kapal utama Global Sumud Flotila (GSF) di Tunisia serta serangan udara ke atas Doha di Qatar, kononnya menyasarkan kepimpinan politik Hamas.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.