SHAH ALAM, 13 SEPT: Malaysia memperkasa semula penglibatan perdagangan global menerusi MIHAS Knowledge Hub 2025, inisiatif utama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang mengubah Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) daripada acara tahunan kepada ekosistem perdagangan sepanjang tahun.
Boleh diakses melalui Portal MIHAS dan MADANI Digital Trade (MDT), MIHAS Knowledge Hub menyediakan kecerdasan pasaran secara langsung 24/7, analisis berasaskan data, taklimat peraturan serta akses terus kepada pembeli global berprofil tinggi – sekali gus memperkasakan pengeksport merebut peluang dan kekal berdaya saing sepanjang tahun.
Platform perdagangan kekal
Bermula 25 Ogos lalu, Hab itu menganjurkan empat sesi penstriman langsung dan atas permintaan dengan kerjasama Halal Development Corporation Berhad (HDC), MBSB Bank, FedEx dan Nazsoft Tech, yang menarik lebih 1,000 peserta. Perbincangan menumpukan aspek penting meningkatkan daya saing eksport, termasuk pendigitalan, e-Dagang rentas sempadan, pengoptimuman logistik dan pembiayaan perdagangan – sebagai persediaan praktikal menjelang MIHAS 2025.
Sepanjang September hingga Disember ini, sebanyak 16 sesi webinar Meet the Experts bakal menampilkan tokoh perniagaan serta peneraju pasaran global dari ASEAN, Asia Timur, Asia Selatan, Timur Tengah dan Amerika, sekali gus membuka peluang kepada pengeksport yang membidik sumber Halal.
“Knowledge Hub menterjemahkan pandangan pasaran kepada tindakan nyata dengan menghubungkan hampir 10,000 pengeluar bersijil Halal kepada maklumat penting dan rangkaian pembeli secara langsung. Inisiatif strategik ini direka untuk melonjakkan eksport PKS melepasi RM61 bilion ke arah sasaran RM63.1 bilion pada 2025, mengukuhkan lagi kepimpinan Malaysia dalam ekonomi Halal global,” kata Pengerusi MATRADE, YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican.
Urus niaga bernilai tinggi
Pada 18 September, MATRADE sekali lagi akan menganjurkan Program Pencarian Sumber Antarabangsa (INSP) bersempena MIHAS, bagi menghubungkan pembeli global dengan pengeksport tempatan. Pada 2024, INSP merekodkan lebih 2,500 sesi padanan perniagaan, menarik 250 pembeli antarabangsa dan menjana lebih RM1 bilion urus niaga, selain menyaksikan 24 MoU bernilai RM111 juta ditandatangani.
“Rekod kejayaan ini menjadi asas kepada pembangunan MIHAS Knowledge Hub. Dengan kecerdasan pasaran masa nyata serta maklumat pembeli 24/7, ia membina formula terbukti bagi membantu pengeksport bergerak daripada sekadar hubungan kepada peluang nyata,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dato’ Sri Mohd Mustafa Abdul Aziz.
Power Talk: Membina jenama tahan lasak dan digital
Acara kemuncak Power Talk bertemakan “Membina Pertumbuhan Perniagaan Tahan Lasak melalui Penjenamaan dan Platform Digital” akan berlangsung pada 18 September 2025. Pemikir industri serta penggerak jenama utama tempatan dan inovator digital akan membincangkan strategi mengatasi ketidaktentuan pasaran global, termasuk tekanan rantaian bekalan, perubahan teknologi pantas dan cita rasa pengguna.
“Ketahanan jenama dan keupayaan digital kini menjadi keperluan utama pengeksport Halal yang mahu menembusi pasaran baharu. MIHAS bukan sekadar platform jaringan, tetapi pemacu pertumbuhan yang boleh diukur. Tugas kami ialah membantu pengeksport menukar maklumat kepada urus niaga dan urus niaga kepada kehadiran pasaran yang berkekalan,” tambah Mohd Mustafa.