SHAH ALAM, 12 SEPT: Kestabilan politik Malaysia dijangka semakin bergantung kepada pengaruh masyarakat bumiputera, blok demografi yang bakal menjadi penentu utama keputusan pilihan raya pada masa depan.
Menurut penganalisis politik, unjuran terkini Jabatan Perangkaan (DOSM) melalui laporan Unjuran Penduduk 2020–2060 menunjukkan jumlah bumiputera akan terus meningkat dengan ketara dalam beberapa dekad mendatang.
Ketika ini, kumpulan majoriti itu sudah pun mempunyai pengaruh besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dengan Perikatan Nasional (PN) meraih 54 peratus sokongan Melayu berbanding Barisan Nasional (BN) 32 peratus dan Pakatan Harapan (HARAPAN) 13 peratus.
Walaupun gagal menubuhkan kerajaan, prestasi kukuh PN di kerusi majoriti Melayu cukup untuk mencetuskan Parlimen tergantung pertama negara.
Sokongan tertinggi PN datang dari negeri utara dan pantai timur iaitu Kedah (67 peratus), Kelantan (66 peratus) dan Terengganu (63 peratus).
Keadaan itu menurut penganalisis akan mendorong parti berkenaan menumpukan strategi kepada kerusi luar bandar dan separa bandar.
Dengan populasi bumiputera dijangka terus meningkat, sentimen semakin kuat bahawa parti yang mendapat sokongan Melayu terbanyak bakal menguasai Putrajaya.
Bumiputera bakal jadi kingmaker
Felo kanan Nusantara Academy for Strategic Research, Azmi Hasan berkata unjuran DOSM itu menandakan perubahan kuasa politik yang ketara.
“Pengundi bumiputera, bukan Cina atau India, akan menjadi penentu kemenangan (kingmaker) pada dekad akan datang.
“Namun, kita mesti ingat kategori bumiputera lebih luas daripada Melayu sahaja. Perbezaan ini penting untuk difahami dalam menilai implikasi politik,” katanya kepada Media Selangor.
Data DOSM menunjukkan populasi bumiputera dijangka meningkat daripada 69.4 peratus pada 2020 kepada 79.4 peratus pada 2060.
Sebaliknya, masyarakat Cina menurun daripada 23.2 peratus kepada 14.8 peratus manakala India berkurang daripada 6.7 peratus kepada 4.7 peratus.
Kesan pengundi berusia
Azmi turut menjelaskan perubahan etno-demografi itu, digabungkan dengan faktor penuaan penduduk, bakal memberi kesan besar bukan sahaja terhadap keputusan pilihan raya malah tingkah laku politik.
“Dalam tiga dekad akan datang, usia median sekitar 41 tahun. Pengundi lebih tua cenderung membuat keputusan rasional dan boleh dijangka, manakala pengundi muda lebih sukar diramal.
“Jadi, kita mungkin akan lihat dua blok stabil muncul — pengundi bumiputera sebagai penentu, dan pengundi berusia sebagai penstabil,” katanya.
Unjuran DOSM juga menunjukkan 18.3 peratus rakyat Malaysia berusia 65 tahun ke atas pada 2060, hampir tiga kali ganda berbanding 6.8 peratus pada 2020.
Malaysia dijangka mencapai status masyarakat menua menjelang 2048, dan menjadi “super-aged society” di negeri bandar utama termasuk Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 2060.
Dalam masa sama, nisbah kanak-kanak berusia 0 hingga 14 tahun dijangka susut kepada hanya 16 peratus pada 2060, manakala kumpulan usia bekerja (15 hingga 64 tahun) juga berkurang daripada kemuncak 70.8 peratus pada 2030 kepada 65.7 peratus pada 2060.
Komuniti Cina dan India yang secara tradisi menjadi sebahagian besar pengundi kelas menengah bandar turut diramal berkurang, sekali gus melemahkan pengaruh pilihan raya mereka dari semasa ke semasa.
Perlu pendekatan kempen baharu
Penasihat utama Pacific Research Centre of Malaysia, Oh Ei Sun berkata unjuran DOSM itu bermakna parti bukan Melayu perlu menekankan isu bersama dalam kempen pilihan raya, terutama di kerusi bandar, berbanding menggunakan pendekatan berasaskan kaum.
“Parti bukan Melayu semakin perlu membuat rayuan pilihan raya yang merentas kaum. Isu bersama seperti kelangsungan hidup, pengangkutan, kesihatan dan sebagainya perlu diketengahkan untuk meraih undi merentasi garis perkauman,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, DAP sudah mula mengintegrasikan lebih ramai pemimpin Melayu dalam usaha meluaskan pengaruhnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui pengundi bukan Melayu masih boleh bertindak sebagai “minoriti penentu” sekiranya politik Melayu kekal berpecah.
“Di kawasan bandar, sukar untuk mainkan isu perkauman kerana cabaran seperti kesesakan lalu lintas dan pendapatan rendah menjejaskan semua orang,” jelasnya.
Keadaan itu seiring keputusan PRU15 yang menyaksikan Harapan — gabungan yang memperjuangkan kepelbagaian kaum — menang majoriti besar di kawasan bandar dan bercampur di Selangor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Trend baharu politik
Sementara itu, Azmi berkata keputusan bercampur PRU15 yang menyaksikan kerajaan perpaduan mungkin menjadi norma baharu selagi parti politik gagal mencari pendekatan segar untuk berinteraksi dengan pengundi.
“Nombor tidak pernah menipu. Jika trend ini berterusan, parti yang gagal memenangi sokongan pengundi bumiputera dan menyesuaikan diri dengan realiti penduduk menua akan tidak lagi relevan,” katanya.