KLANG, 12 SEPT: Keberanian bukan terletak pada genggaman senjata atau ledakan kekerasan, sebaliknya pada kekuatan jiwa yang menegakkan keadilan, menyemai kasih sayang dan mengekalkan kedamaian melalui penulisan.
Itulah mesej yang diketengahkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika merasmikan Hadiah Sastera Selangor 2025 di Hotel Wyndham Acmar, Klang malam tadi.
Mengambil iktibar daripada pengalaman pahit Nepal, beliau mengingatkan bagaimana peperangan saudara, bencana alam dan ketidaktentuan politik telah mengorbankan keamanan apabila keberanian disalah tafsir.
“Pengalaman Nepal menjadi pengajaran penting bahawa keberanian yang disalah tafsir hanya membawa penderitaan dan perpecahan.
“Penulisan wajar memberikan ketenangan, rasionaliti dan menolak amarah yang keterlaluan,” katanya.
Amirudin menambah, penulis perlu menyalurkan pemikiran dan jiwa dalam setiap karya kerana karya sastera bukan sekadar luahan kosong.
“Kita semua mempunyai tanggungjawab mencari kehidupan yang lebih adil dan berperikemanusiaan.
“Dunia kini seolah-olah terperangkap dalam kitaran kegilaan, daripada konflik kecil-kecilan kepada peperangan besar, serta daripada operasi ketenteraan hingga aksi keganasan yang semakin merebak,” katanya.
Beliau menegaskan, karya sastera tidak seharusnya menjadi luahan kosong, sebaliknya wadah untuk mencurahkan pemikiran dan jiwa yang mampu membangkitkan kesedaran.
“Kita semua mempunyai tanggungjawab mencari kehidupan yang lebih adil dan berperikemanusiaan.
“Dunia kini seolah-olah terperangkap dalam kitaran kegilaan, daripada konflik kecil-kecilan kepada peperangan besar, serta daripada operasi ketenteraan hingga aksi keganasan yang semakin merebak,” ujarnya.
Amirudin menambah, suara rakyat perlu diterjemah kepada kesedaran kemanusiaan serta tanggungjawab bersama demi kehidupan lebih rasional dan sejahtera.
“Ada muncul beberapa perkara seperti riak, amarah akibat teruja dengan sesuatu berita, terlalu gembira dan sebagainya. Semua ini memerlukan kewarasan.
“Melalui sastera, budaya dan seni, kita dapat menelaah serta melatih hati nurani dan perasaan,” jelasnya.
Majlis bertemakan batik itu turut meraikan sembilan penulis kreatif tanah air sebagai pemenang utama Hadiah Sastera Selangor yang kini memasuki tahun ke-10 penganjuran sejak diperkenalkan pada 2015.