ad

Laporan Ketua Juri Hadiah Sastera Selangor 2023

12 Sep 2025, 1:00 AM
Laporan Ketua Juri Hadiah Sastera Selangor 2023

Oleh Faisal Tehrani (ketua juri)

Latar belakang

Hadiah Sastera Selangor telah memasuki tahun kelapan pada tahun 2023 ini. Hadiah ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan tidak terhad kepada mereka di negeri Selangor sahaja. 

Karya-karya yang dinilai adalah dari penerbitan Media Selangor dan rakan penerbit iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Tukang Puisi. Penjaga gerbang karya yang diterbitkan di Media Selangor adalah saudara Fahmi Mustaffa (Pengelola Karya Sastera dan Seni) dan saudara Fazallah Pit (Editor Selangor Kini). 

Atas saranan YAB Dato Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, karya-karya dari medium seperti Dewan Sastera, Tunas Cipta; dan Tukang Puisi turut dinilai. Cadangan beliau adalah atas visi luas, dan kerana semangat berkobar beliau untuk memeriah dan merancakkan pembangunan sastera dan penulisan seni di Malaysia, dan Selangor khususnya. 

Ketetapan bilangan 10 buah karya dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Svara, dan Tukang Puisi diputuskan dalam satu mesyuarat bersama antara Media Selangor, bersama wakil rakan kerjasama pada tahun 2021.

Dalam mesyuarat seterusnya pada 9 Februari 2024 dengan Dewan Bahasa dan Pustaka ketetapan 10 buah ini dikekalkan tanpa sebarang penambahan.

Petugas yang memilih karya untuk diserahkan kepada penganjur Hadiah Sastera Selangor dari Dewan Bahasa dan Pustaka adalah saudara Mohd Hadi Roslan dari Bahagian Promosi dan Pengiktirafan untuk karya-karya tahun 2022 dan 2023; serta saudara Mohd Amizi Ikman Amran (juga dari Bahagian Promosi dan Pengiktirafan) untuk karya-karya tahun 2024; dan dari Tukang Puisi adalah saudara Fahd Razy.

Penganjur dan juri Hadiah Sastera Selangor tiada kuasa mengawal atau memilih karya yang dipilih oleh mereka.

Pemilihan Juri 

Para panel juri dipilih atas dasar mereka dapat memberi penilaian saksama lagi merangkum. Ini lantaran qasad awal Hadiah Sastera Selangor adalah agar karya yang dipertandingkan hendaklah inklusif; kreatif-inovatif; menepati diversiti; canggih gubahannya; penuh estetika, lantas menyumbang kepada kekayaan batiniah seni dan rohani masyarakat pembaca dan penghayat seni di Selangor yang merupakan pusat huni pelbagai bangsa, kepercayaan dan cara fikir. 

Untuk mencapai objektif ini, penganjur memilih dengan penuh waspada juri yang dapat memberikan penilaian sihat dari pelbagai kaca mata dan panca kerangka. Pertimbangannya adalah juri mesti mewakili pelbagai lapis usia, gender, profesyen, kepercayaan, dan latar belakang gaya seni. Oleh itu juri-juri Hadiah Sastera Selangor adalah unik dan tersendiri, bak kata peribahasa Melayu ‘hendak ucok dilawan damai, hendak perang giling peluru’. 

Juri yang dipilih adalah mereka dari kalangan penerbit; aktivis dan birokrat seni budaya; kurator festival; ejen butik sastera; penerjemah; penyunting; jurnalis seni; kurator toko buku rangkaian antarabangsa, pembimbing bengkel pembinaan karya, dan ahli akademik. Mereka membawa sama pengalaman dan pengetahuan ketika perbahasan berjalan. Semua juri dikenalpasti adalah pembaca, pengekor dan penggemar seni sastera yang tegar, dan tidak pula meletakkan syarat apabila menawarkan khidmat mereka. 

Latar belakang pendidikan juri untuk Hadiah Sastera Selangor juga berbeza dari kebanyakan hadiah dan anugerah sastera dan seni yang lain. Latihan awal mereka meliputi bidang kesusasteraan, agama Islam, pendidikan, teater, catan, kewartawanan, bahasa dan linguistik, serta kejuruteraan. Ini kerana penganjur mengambil kira karyawan dewasa ini terdiri dari pelbagai ragam manusia. Bahkan semakin banyak karya sastera Melayu hari ini dihasilkan oleh mereka yang bukan dari bidang sastera awalnya. Kepelbagaian ini demi memastikan karya yang dinilai kelak tidak jumud, sebaliknya segar; tidak basi, bahkan diharap boleh diingati sepanjang zaman. 

Semua juri juga telah dikenalpasti awal, dan diingatkan untuk tidak membaca karya yang tersiar di wadahnya, dan hanya membaca dari senarai yang diserahkan sahaja, di mana identiti karyawan telah dipadam. 

Juri hanya mengetahui siapakah pengarang karya yang disaring atau dimenangkan setelah keputusan dibuat. Panel juri yang menilai karya tahun ini adalah: 

Untuk kategori cerpen, juri adalah: 

  • Dr Haji Mohd Faizal Musa/Faisal Tehrani (Ketua) 

  • Puan Sayiidah Mu'izzah Kamarul Shukri (Panel) 

  • Encik Fasyali Fadzly Saipul Bahri (Panel) 

Untuk kategori puisi, juri adalah: 

  • Haji Al-Mustaqeem Mahmod Radhi (Ketua) 

  • Dr Alina Abdullah (Panel) 

  • Al-Abror Mohd Yusuf (Panel) 

Bagi kategori esei , juri adalah: 

  • Encik Abdul Nazir Harith Fadzilah (Ketua) 

  • Encik Muhamad Azan Safar (Panel) 

  • Encik Zul Fikri Zamir Mohamad Munir (Panel) 

Kaedah Saringan dan Penilaian Karya 

Dalam saringan awal, semua juri yang terpilih telah dipastikan untuk tidak membaca lebih awal karya-karya yang pernah diterbitkan di semua medium. Ini untuk memastikan panel juri tidak ada sebarang tanggapan. 

Ketua Juri Hadiah Sastera Selangor 2023, Dr Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani) telah bertemu dengan wakil penganjur dari Media Selangor saudara Fazallah Pit untuk mesyuarat awal pada 21 Jun 2025 di Shah Alam, Selangor. 

Kedua-duanya melakukan penyaringan karya dalam genre cerpen dan puisi pada 3 Julai 2025; dan 8 Julai 2025 di Bandar Baru Bangi, Selangor. Karya dalam genre esei tidak disaring memandangkan jumlahnya tidak terlalu besar. Penganjur mengorbankan karya yang diterbitkan di Selangor Kini di peringkat saringan untuk memastikan hanya 20 buah karya sahaja di bawa ke peringkat seterusnya. 

Karya yang dibekalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan Tukang Puisi tidak disaring dan semuanya dibawa terus ke penilaian akhir tanpa prejudis. Ini untuk memastikan tiada rungutan berbangkit di pihak rakan kerjasama. 

Secara keseluruhannya, sebanyak 35 buah cerpen dinilai dan hanya 14 buah dari Selangor Kini diterima ke pusingan seterusnya di peringkat pertama ini. Manakala sejumlah 44 buah puisi dibaca dan 15 buah diangkat ke tahap berikut. Sebanyak 14 buah esei dibawa ke penilaian akhir. Semua juri kemudian dibekalkan dengan senarai yang telah disaring pada 9 Julai 2025.

Panel juri diberi masa hampir sebulan untuk membaca, dan membawa penilaian awal masing-masing untuk dinilai pada 6 Ogos 2025 selama seharian di Shah Alam, Selangor. Pada hari penjurian akhir ini juga, untuk keadilan ada karya yang tertolak di peringkat saringan turut dibaca dan dinilai semula. Dalam erti kata lain, terdapat karya yang tercicir dari Selangor Kini di peringkat saringan awal dibaca kembali atas permintaan ketua atau panel kategori tersebut. 

Ketika penilaian dilakukan juri juga diminta tidak memeriksa karya tersebut di dalam talian. Dalam erti kata lain para juri tidak mengetahui siapakah empunya karya; dan menilai sepenuhnya bersandarkan mutu karya yang telah ditetapkan. 

Para juri diberikan tiga kondisi oleh penganjur: 

  • Hanya seorang pemenang untuk satu kategori dalam satu-satu tahun. 

  • Pemenang bagaimanapun boleh berulang dalam satu-satu tahun jika sumber penerbitan berbeza. 

  • Pemenang boleh berulang di dalam kategori berbeza dalam satu-satu tahun yang sama. 

Panel juri ditugaskan mencari seorang pemenang Hadiah Utama untuk setiap kategori untuk satu-satu tahun, dan tiga lagi penerima Hadiah Penghargaan untuk setiap kategori untuk satu-satu tahun. Mereka juga diminta memilih dua lagi karya sebagai simpanan sekiranya terdapat pemenang berulang dalam satu kategori. 

Di peringkat ini hanya penganjur sahaja mengetahui sekiranya ada kemenangan bertindih. Penganjur akan meminta judul tersebut digantikan. Mana-mana pemenang yang berganda dalam kategori sama itu diputuskan setelah perdebatan untuk karya simpanan dilakukan. 

Selepas pemilihan dalam kategori dilakukan, semua panel juri berhimpun kembali untuk membahaskan karya pemenang ini. Ketua Juri memastikan tidak ada pertikaian, dan sebarang ekor rasa tidak puas hati telah didamaikan. Di akhir sekali setiap juri diminta menyatakan pandangan akhir mereka. Ini bagi memastikan penjurian kategori dilakukan secara sepakat, dan bukan hanya berdasarkan majoriti 2-1. 

Karya-karya yang dimenangkan telah dipilih dan diputuskan, untuk cerpen; berdasarkan: 

  • Kekuatan tema, yakni yang relevan dengan isu semasa, dan mengungkapkan persoalan, keresahan, dan konflik dalam masyarakat. Jika karya tersebut menggunakan acuan garda depan, sebarang simbolisme dan makna tersembunyi - jika ada - cuba diselongkar menerusi petunjuk sasterawi. 

  • Pemilihan genre karya hendaklah sesuai dengan tema yang dibawa. Pengarang sepatutnya menguasai ciri genre yang digunakan. Ini bermaksud karya yang dinilai itu hendaklah memiliki alat penceritaan yang sesuai, mantap dan munasabah. 

  • Karya hendaklah memaparkan kausaliti teguh, waras dan tidak mengkesampingkan ketekalan imaginasi atau konsistensi jika dipersembahkan dalam bentuk non-realisme. Dalam banyak keadaan juga juri mencari ‘perubahan’ iaitu drama di dalam karya. 

  • Juri mencari karya yang masak, matang dan tidak tergesa-gesa. Di mana ia telah melalui proses pengeraman, penulisan, dan penyuntingan yang rapi. 

  • Sesebuah cerpen hendaklah memiliki naratif, dan bukan hanya ulasan-ulasan wacana, gagasan atau teori tertentu yang disolek serba sedikit dengan cerita. Terdapat karya dengan retorika yang tidak dikembang dan digarap secara leteran. Juri menemukan beberapa cerpen seumpama ini ketika penjurian. Karya begini diketepikan. 

  • Cerita hendaklah memiliki latar menyeluruh, khususnya jika genre karya adalah sejarah. Untuk membina sesebuah cerita yang meyakinkan, riset latar perlu dititik-beratkan, dan diketengahkan dalam karya secukupnya. 

  • Penggunaan bahasa tidak semestinya berbunga, atau indah semata, tetapi hendaklah pula sesuai dan seimbang dengan genre yang dipilih. 

  • Akhir sekali, juri juga mencari karya yang boleh menjanjikan elemen malar segar, di mana ia mempunyai unsur kejutan, kelainan dan sebab khas untuk diingati. 

Untuk kategori esei; 

  • Panel juri berpandangan sesebuah esei bukanlah semesti menghamburkan fakta atau penyataan yang tidak dikembangkan. 

  • Panel juri lebih tertarik kepada elemen seperti pengarkiban, dan terdapatnya sentuhan, sikap dan pandangan peribadi yang tuntas. 

  • Juri kategori esei juga mencari perenungan peribadi pengarang di dalam esei. Jika perenungan dan pemerhatian itu segar ia mestilah diungkap secara jujur, dan berusaha meyakinkan pembaca. 

Untuk kategori puisi; 

  • Panel juri menekankan kemampuan puitis seseorang penyair dalam menyuguhkan ungkapan yang segar, atau dalam bahasa mudahnya, lain. Kelainan ini akan membawa kepada rasa terpagut, tersentak, dan kesan seni yang khas lagi tersendiri. Tambahan lain, puisi dengan kerangka keakuan yang ketara kurang dipertimbangkan. 

Berikut adalah laporan penjurian setiap kategori.

KATEGORI CERPEN

Untuk tahun penjurian 2023, juri mendapati terdapat banyak karya yang menarik, dan agak berkualiti. Pada tahun ini karya-karya mengenai isu politik misalnya telah mulai menyurut, membawa petanda kestabilan politik di negara ini. Terdapat juga karya yang mulai membawa naratif mengenai Palestin.

Kebanyakan karya masih rata-ratanya menggunakan acuan eksperimental, menjadikan penilaian dan pertimbangan karya adalah sedikit berbeza berbanding tahun sebelumnya.

Terdapat karya yang ‘menghiburkan’ sepertinya cerpen Gila Berimaginasi, atau mempunyai tema yang kuat seperti Si Tangan Kasar Berwajah Parut’ akan tetapi ia perlu bersaing dengan karya-karya lain yang lebih menyerlah. Setelah berbincang panjang, panel juri memutuskan enam karya di bawah ini layak untuk diperdebatkan dalam pusingan berikutnya. Cerpen-cerpen tersebut adalah:

  • Watak Yang Terperangkap

  • Superhero Yang Terlupa Menutup Suis

  • Bangsawan Bertopeng

  • Saya Katakan Kepada Tuhan

  • Menyeduh Pagi

  • Enuresis

Setelah panel juri berbahas dari pelbagai sudut, cerpen-cerpen yang layak diberi hadiah adalah seperti berikut;

Hadiah Utama: Euneresis

Cerpen humor ini adalah mengenai kisah seorang lelaki, Pok Ching, yang mendambakan ketenangan dalam beribadah. Naratifnya memberikan kejutan yang menyenangkan. Meskipun dapat dianggap biasa, ia terfokus, dan mengalir. Sebagai sebuah cerpen humor, penyampaian bahasanya tidak perlu sasterawi, memadai mudah dan sesuai dengan genre yang digarap. Dialek Terengganu dieksploitasi dengan baik untuk memberi kesan percaya. Pun, pada tempat tertentu, bahasanya beritma.

Namun apa yang menjadikan panel juri lebih tertarik dengan karya ini adalah meskipun ia mengisahkan masalah kesihatan seorang lelaki berusia, ia tidak memerlukan jargon perubatan untuk meyakinkan pembaca.

Di lapis lain ia juga mengenai gejala ‘agamawan kencing’, ditampilkan secara bersahaja, tanpa perlu memaksakan mesejnya.

Selain itu, sebagai sebuah cerpen Islami, ia tidak memerlukan pendekatan berkhutbah. Apatah lagi pesan-pesan didaktik dengan dalil.

Panel juri berpandangan cerpen ini memiliki satu elemen penting sebagai sebuah cerpen mikro, iaitu ia segar dan mampu bertahan untuk diingati pembacanya buat sekian lama.

Hadiah Penghargaan

Bangsawan Bertopeng

Cerpen ini adalah pesaing utama untuk cerpen Euneresis. Karya ini menampilkan isu semasa, kebebasan bersuara karyawan di negara ini. Ia mengisahkan nasib pengamal seni dengan persembahan tradisional, yang berdepan dengan sensor, intimidasi penguasa. Terdapat lapis makna pada persembahan bangsawan, dengan bangsawan dari segi kelas. Pengarang turut menyelitkan mitos sebagai pelincir dalam cerpen ini.

Terdapat suara pengarang yang kuat selaku karyawan dalam cerpen direpresentasi oleh ‘ambo’. Pengarang juga berjaya memanfaatkan ruang naratif, dengan kepanjangan yang cukup untuk mengembangkan watak, dan plot; sambil memanfaatkan alat penceritaan seperti imbas kembali. Cerpen ini mempunyai pembukaan dan penghabisan yang teratur. Dari segi bahasa ia dikraf dengan ritma yang sesuai dengan sisipan dialek Kelantan. Dialog yang diungkap oleh karektor juga bersesuaian dengan watak.

Pengarang juga kelihatan menguasai subjeknya, politik seni-politik pejabat dan politik tanahair bergumpal sebati dan diimbangi dengan elok.

Saya Katakan Pada Tuhan

Cerpen psikologi ini tampil unik dengan memainkan banyak penghabisan yang berbeza. Ia menghantar satu mesej bahawa manusia tidak akan dapat mengubah takdir.

Panel juri berpandangan karya ini mengutus pesanan yang mustahak mengenai isu keibu-bapaan; kesedaran lelaki sebagai seorang bapa dan suami; dan kritikan patriarki yang tajam. Dengan kepanjangan yang sesuai, ia nampaknya berupaya mengetengahkan topik peranan gender dengan baik.

Pertembungan watak Saya dan Isterinya dilatari dengan imej yang cukup visual dan terperinci mengundang gegar.

Dalam pada itu penggunaan bahasa pada cerpen ini terkawal dan tidak bombastik secara menjengkelkan.

Panel juri memilih cerpen berikut iaitu ’Watak Yang Terperangkap’ untuk hadiah penghargaan seterusnya. Namun demikian setelah keputusan dibuat, pihak penganjur memaklumkan pengarang ini adalah karyawan yang serupa dengan penulis ‘Saya Katakan Pada Tuhan’. Sebagai memenuhi ketetapan oleh penganjur, juri perlu menimbangkan dua pilihan yang ada iaitu di antara ‘Superhero Yang Terlupa Mematikan Suis Sterika’ dan ‘Menyeduh Pagi’.

Cerpen ‘Superhero Yang Terlupa Mematikan Suis Sterika’ sesuai dan molek sebagai sebuah cerpen mikro, di mana ia memperihalkan kecintaan Suami terhadap Isteri secara tulen, jujur dan tanpa syak wasangka. Ia adalah sebuah karya sebagai pesan kepada lelaki bahawa perlunya kebertanggungjawaban. Lelaki berusaha memenuhi keperluan isteri meskipun terdapat kelalaian dan kekurangan.

Setelah berbahas panel juri berpandangan Hadiah Penghargaan terakhir akan diberikan kepada;

Menyeduh Pagi

Cerpen ini merupakan kisah cinta pejabat atau lebih tepat cinta pantri yang menggeletek hati. Barangkali juga ia adalah kisah cinta tak terungkap yang mampu membuatkan pembaca tersenyum.

Latar cerpen deskriptif dan sesuai sebagai cerpen anti plot. Meskipun naratifnya mudah, ia kekal terkawal dan hadir minimalis.

Panel juri merasakan cerpen ini tampil unik kerana watak yang diketengahkan tiada gender tertentu membuatkan timbul teka-teki dan kesan misteri. Terdapat juga kemungkinan watak Saya dan Dia itu adalah watak yang sama, satu refleksi diri.

Panel juri mengucapkan syabas dan tahniah setingginya kepada semua pemenang untuk tahun penilaian yang mencabar.

KATEGORI PUISI

  • Al-Mustaqeem Mahmod Radhi (Ketua)

  • Alina Abdullah (Panel)

  • Al-Abror Mohd Yusuf (Panel)

Panel sekali lagi diberi tanggungjawab untuk menilai sajak-sajak bagi Hadiah Sastera Selangor tahun 2023, masih dalam rangka kriteria tahun sebelumnya, panel pejuri nilai memberikan penekanan kepada keseimbangan mutu antara sekian kriteria yang umum, yakni isi dan tema (idea yang asli), daya cipta (penggunaan perlambangan dsbnya), struktur dan bentuk, bahasa dan pemilihan kata, ritma dan bunyi.

Termasuk dalam keseimbangan ini, adalah sebaik mana penyajak menyusun kata tanpa mengurangkan pada jiwa pembaca kesan perasaan yang ingin diluahkannya.

Secara keseluruhan sebanyak 15 buah sajak terbitan Selangor Kini disenarai pendek dari 44 buah karya. Ia diserahkan kepada panel juri untuk dinilai bersama-sama karya dari platform lain, menjadikannya 30 buah.

Terdapat peningkatan mutu dan kelainan di sana sini pada karya-karya yang diterima, tetapi pada masa sama, terdapat penulis yang cuba bereksperimentasi namun kurang berhati-hati, atau kelihatan seperti memaksa-maksa, dan berlebihan.

Bagi karya-karya 2023, panel juri mensepakati keputusan seperti berikut:

Hadiah Utama: Parabellum ​​​​​

Sajak Parabellum berdiri dengan cara tersendiri melalui penceritaan yang kuat dan mengundang imaginasi pembaca. Membaca pembukaan sajak ini hampir membuatkan kita berasa seperti menonton babak pembukaan sebuah filem ‘pulpfiction’ yang menyajikan suasana tegang secara bersahaja: “mari berdamai, saudara./ di kafe mewah pilihanmu / kita bersila panggung / dan bicara hal gencatan / apa mahumu – latte / espresso atau kopi o?” Pada bahagian ini terlihat sebuah kontradiksi (bersila panggung di kafe mewah) yang menambah daya tarik pada gambaran yang disampaikan dan berperanan sebagai awalan bagi beberapa lagi kontradiksi yang dimuatkan dalam sajak ini. 

Sajak ini memanfaatkan gaya dramatik secara tekal dari awal sehingga penghujung (lengkap dengan watak sampingan, yakni seorang pramusaji yang tidak disebut tetapi kita tahu hadir, dalam dialog “maaf, saudara / americano / aku cukup saja teh hitam”), dibumbui dengan sindiran-sindiran tajam seperti “bercerita tentang musuh yang tak pernah ada.”

Hadiah Penghargaan 

Kafein Marhaen​ 

Sementara itu tiga lagi sajak yang terpilih untuk hadiah penghargaan membawa kelebihan masing-masing. Kafein Marhaen memilih tema yang agak biasa, berkisah tentang kelaziman majikan memerah tenaga dan masa buruh asing, namun diperikan lewat sebuah perlambangan yang menarik (kopi luar negeri yang diseduh) dan dengan jalan cerita yang jelas dan sederhana tetapi masih mampu melakar gambaran yang memilukan.

Tak Perlu Pertanyaan Lagi Pada Hari Jadi ke-66 

Subjek sajak ini amat ketara pada judulnya. Ia terbit pada tahun yang sama Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-66. Temanya tentang harapan dan janji yang belum tertunai. Sejauh itu, sajak ini terasa biasa-biasa saja. Bagaimanapun, pengkarya berjaya menyusun kata-kata dengan baik, mengungkapkan kekecewaan menerusi kritik yang bukan saja dihalakan ke luar tetapi juga ke dalam diri: “kami menikmati sebuah kek umpama kota tanpa papan tanda / namun tak seorangpundibenarkan bertanya / mengapa atau bagaimana / cukup untuk kita percaya / di sinijalan-jalan menunda kita ke mana kita suka.” Dengan agak cermat, penyajakmembentangkan perlambangan dan susunan cerita yang mampu mengajakpembaca untuk merenung tentang usia yang berlalu pantas, tentang kehampaanyang lahir bukan saja dari angkara pihak lain tetapi juga kealpaan diri.

Dongeng Kota ​​​​​​

Sajak ini memakai tema yang juga sudah terlalu biasa, yakni tentang kehidupan di kota yang mengecewakan. Bagaimanapun, hal yang menjadikan sajak ini agak menarik dan wajar diberikan penghargaan ialah ia menyentuh tema berkenaan dengan ungkapan menarik seperti “di tengah apartmen ada kesunyian / sedangditiduri sebagai sofa” dan gambaran yang mewakili renungan mendalam penyajakseperti “kerana lupa cara menangis / mereka pura-pura sering tertawa.” 

 Tahniah kepada semua pemenang yang terpilih.

KATEGORI ESEI

  • Abdul Nazir Bin Harith Fadzilah

  • Muhammad Azan Safar

  • Zul Fikri Zamir Mohamad Munir

Penjurian bagi kategori esei kali ini telah dilakukan secara serentak bagi karya yang diterbitkan antara tahun 2022 sehingga 2024. Jumlah keseluruhan esei yang dinilai adalah sebanyak 59 buah; 21 esei untuk tahun 2022, 21 esei untuk tahun 2023 dan 17 esei untuk tahun 2024.

Bagi kategori esei, juri memilih satu pemenang hadiah utama dan tiga hadiah penghargaan mengikut tahun masing-masing. Disebabkan proses penjurian ini melibatkan tiga tahun sekaligus, kriteria penilaian yang digunakan juga adalah konsisten, meskipun penekanan tertentu berbeza mengikut ciri dan kecenderungan karya bagi tahun-tahun yang berkenaan.

Secara keseluruhan, mutu esei yang dinilai menunjukkan ragam yang pelbagai. Walaupun terdapat karya yang menampilkan keaslian perspektif dan keunggulan gaya, namun tidak kurang esei memperlihatkan kelemahan yang tertentu. Antara kelemahan yang dikenal pasti dinyatakan di sini sebagai rujukan.

Banyak esei masih mengekalkan struktur yang konvensional tanpa usaha untuk mengolah dalam bentuk yang lebih organik dan reflektif. Walaupun bentuk ini tidak menjadi kesalahan sepenuhnya, namun bentuk linear yang sebegini hanya menghasilkan bacaan yang kaku serta tidak menghasilkan gema intelektual yang tinggi.

Disamping itu, ada juga kecenderungan dalam penulisan esei untuk mengumpulkan fakta dan memuntahkannya tanpa disertakan analisis kritis dan penghujahan yang mendalam. Selain terdapat juga esei yang gagal menampilkan subjek yang jelas, berlegar dalam naratif yang lewah sehingga menenggelamkan tesis utama.

Pihak juri menilai esei berdasarkan tiga aspek utama.

Pertama adalah tema esei; keaslian tema menjadi ukuran namun tidaklah menjadi satu-satunya faktor pemberat, sudut pandang yang segar dan melawan arus juga boleh menjadi pembeza.

Kedua struktur esei dan penyusunan hujah; ketelitian dalam mengolah hujah dan kejelasan logik turut menjadi asas.

Ketiga adalah penggunaan bahasa; bahasa yang digunakan dengan lancar dalam mencapai kejernihan esei, menguak pintu renungan pembaca, memberi nilai tambah kepada penilaian.

Selain itu pihak juri juga sepakat untuk menambahkan dimensi keempat iaitu perenungan peribadi yang dapat memberikan kesegaran kepada penyampaian esei terutama di era dunia kecerdasan yang fakta dan hujah logika mudah untuk disusun-atur, maka kehadiran suara peribadi ini memberikan keunikan dan keaslian dalam esei.

Adapun sebahagian masih cuba untuk mendapatkan kesatuan makna dan bentuk ----kerana kedua elemen inilah akhirnya menjadikan sebuah karya itu karya sastera- yang jitu, namun usaha untuk mencuba caragaya baru dan segar dalam meneroka bentuk esei wajar dipuji.

Pihak juri juga berpendapat perlunya lebih banyak penulisan esei yang memecah keluar daripada hanya sekadar menulis berkenaan karya seni seperti sastera dan filem semata-mata. Tema-tema luar sastera juga harus diperbanyakkan terkait isu politik, sosial dan sains yang mana mampu menarik minat pembaca yang lebih luas disamping memperdekatkan mereka dengan bentuk yang lebih sastera.

Pihak juri berpendapat, pihak editorial harus lebih teliti dan tegas dalam menerima esei untuk disiarkan dalam penerbitan masing-masing kerana dengan lambakan maklumat dan penyusunan maklumat menggunakan kecerdasan tiruan (AI) bentuk esei harus dapat memberikan suatu yang baru dan bermakna kepada pembaca.

Hadiah Utama: Melayu Desa Melayu Kota

Apakah kita semua hanyalah merindukan rahim yang akhirnya tidak akan kembali mendakap kita lagi? - Persoalan ini menggemakan lantunan emosi yang kuat sebagaimana yang tercurahkan dalam keseluruhan esei. Kedalaman introspektif penulis terzahir melalui krisis identiti dan kegelisahan jiwa Melayu yang ditonjolkan dalam tema yang biasa seputar kota dan desa. Penulis mengayam pengalaman peribadi, catatan Awang Goneng yang mengimbau rasa dan nostalgia, peribahasa yang kaya dengan citra alam dan sorotan filem-filem milenial membentuk sistesis yang memperkukuh naratif, mempertaut intelektual dan emosi dan sekaligus menjadikan esei ini sebuah renungan yang segar dan mendalam.

Hadiah Penghargaan

Ketiga-tiga esei yang menerima hadiah penghargaan memperlihatkan keluasan wacana dan kepelbagaian pendekatan dalam memahami sastera. Kecerdasan Buatan: Gelora Baharu dalam Dunia Sastera menegaskan keterbatasan teknologi berbanding keunikan jiwa dan kreativiti manusia dengan menghubunkan teori falsafah, teknologi dan karya klasik. Manakala Menilai Keterangkuman Wacana Sastera Inklusif pula menampilkan keberanian dan kejituan dalam mengkritik dominasi naratif majoriti dalam sastera yang mengehadkan nilai dan kebangsaan hanya kepada naratif Melayu-Islam sambil menegaskan keperluan pengiktirafan pelbagai bahasa di Malaysia secara kritis. Esei Bolehkah Sastera Mengenyangkan Orang Lapar pula menggabungkan anekdot peribadi dengan renungan falsafah dalam menunjukkan bahawa sastera bukan sekadar memberi manfaat material, tetapi penting untuk menyatukan dan membangkitkan kesedaran kolektif.

Panel mengucapkan tahniah kepada para pemenang.

Rumusan

Kami panel juri ingin memberikan kredit kepada pihak Selangor Kini, kerajaan negeri Selangor, rakan kerjasama, para pengelola dan editor yang bertungkus-lumus membangunkan karya sastera, fiksi dan non fiksi, tanpa sebarang prejudis. Kami juga bersepakat menganjurkan pihak Selangor Kini untuk terus mengasuh pengarang-pengarang sedia ada dengan program berbentuk bengkel agar kualiti kerja para sasterawan masa hadapan ini semakin membaik.

Semoga usaha berterusan ini akan diberi terus diberi perhatian dan sokongan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.