ad

Ketua Polis Daerah Dang Wangi cedera dibaling objek, beberapa individu ditahan

11 Sep 2025, 6:28 AM
Ketua Polis Daerah Dang Wangi cedera dibaling objek, beberapa individu ditahan
Ketua Polis Daerah Dang Wangi cedera dibaling objek, beberapa individu ditahan

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Polis menahan beberapa individu susulan insiden rempuhan penduduk ketika operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, di sini, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata kejadian itu turut menyebabkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera selepas dibaling objek, lapor Berita Harian.

“Sebagai komander operasi, ini antara cabaran yang perlu dihadapi pegawai saya apabila ada pihak bertindak keterlaluan. Kes ini disiasat mengikut Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di tapak operasi pelaksanaan writ milikan kosong membabitkan 26 hak milik individu dengan 37 rumah teres.

Fadil berkata, Sulizmie telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan atas kecederaan dialaminya.

"Saya difahamkan ada juga orang awam mengalami cedera ringan iaitu terseliuh pada tangan dalam rempuhan itu dan kami akan kenal pasti individu berkenaan," katanya.

Mengulas lanjut, Fadil berkata pihaknya mengesan sekumpulan individu yang dikenal pasti bukan penduduk Kampung Sungai Baru dipercayai cuba menimbulkan kekecohan.

"Ada dalam kalangan individu (berkumpul) di sini dipercayai terbabit dengan aktiviti menimbulkan kekacauan, 'berkepentingan' serta mencurigakan. Malah, perkara itu diakui penduduk mengenal pasti terdapat orang luar turut berkumpul di sini (kawasan operasi) yang buat begini (menimbulkan kekecohan).

"Saya menyeru penduduk Kampung Sungai Baru supaya menjadi mata dan telinga kami dengan melaporkan sebarang aktiviti atau individu mencurigakan," katanya.

Terdahulu, Fadil memberi penjelasan kepada penduduk yang berkumpul supaya memahami tanggungjawab pihak polis dalam melaksanakan perintah mahkamah.

"Saya seru penduduk sama-sama membantu permudahkan urusan diperintahkan mahkamah ini (writ pengosongan kediaman).

"Kita kena bagi kerjasama dan yang paling penting (penduduk) pasang mata bagi mengesan individu berkepentingan mengambil kesempatan sehingga pegawai saya (Ketua Polis Daerah Dang Wangi) cedera," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.