KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Selangor menyasarkan untuk muncul sebagai pusat Asean dengan memanfaatkan kedudukan strategiknya termasuk kekuatan infrastruktur pelabuhan, lapangan terbang dan jaringan logistik yang kukuh.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata cabaran utama Selangor kini bukan lagi persaingan dengan negeri-negeri lain dalam Malaysia, tetapi dengan bandar-bandar utama di Asia Tenggara.
“Cabaran kita seterusnya, bukan lihat negeri lain (contohnya) Sarawak, Terengganu, Johor. Kita kena cabar diri kita dengan Singapura, Bangkok, Jakarta. Itu benda yang kena ada dalam fikiran kita.
“Sebab itu, itu bila kita kata kita adalah gerbang Asean dalam SIBS (Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor), itu adalah permulaan untuk kita mula meletakkan diri kita, sejauh mana boleh berdiri kukuh sebagai pusat dalam negara-negara Asean,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Libat Urus Belanjawan Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Sime Darby, hari ini.
Menurut Amirudin, untuk terus ke depan sebagai pusat Asean, Selangor perlu tangkas menghadapi cabaran dunia multipolar yang semakin kompleks, termasuk persaingan teknologi kecerdasan buatan (AI), ketidakstabilan politik global dan penularan berita palsu yang boleh menjejaskan kestabilan negeri serta negara.
Katanya, perkembangan tersebut menuntut Kerajaan Negeri menggandakan usaha memperkukuh daya tahan ekonomi dan sosial, agar rakyat tidak terkesan dengan perubahan drastik di peringkat antarabangsa.
“Memahami latar belakang geopolitik yang membentuk multipolar dan membentuk pasaran pelbagai. Kita kena melebarkan pasaran-pasaran itu dan berbaik dengan semua orang serta meletakkan diri kita dalam semua keadaan dan situasi.
“Kita tidak boleh duduk dalam kepompong kita. Multipolar itu akan membentuk dimensi pelbagai, persepsi pelbagai kepada kerajaan dan pentadbiran. Sebagaimana yang berlaku di Indonesia, Nepal dan juga beberapa tempat yang lain.
“Ini cabarannya, bagaimana untuk kita mengekalkan kestabilan di saat kita meraih kepelbagaian,” katanya.