ad

Selangor FC sedia harungi jadual padat tiga kejohanan bulan ini

10 Sep 2025, 2:28 PM
Selangor FC sedia harungi jadual padat tiga kejohanan bulan ini
Selangor FC sedia harungi jadual padat tiga kejohanan bulan ini

GOMBAK, 10 SEPT: Selangor FC giat melakukan persiapan bagi mengharungi jadual padat membabitkan kejohanan Piala Konfederasi Asia (AFC), Piala FA dan Piala ACC Shopee hingga hujung bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya berkata prestasi terbaik pemain pada perlawanan antarabangsa minggu lalu bersama Harimau Malaya dan pasukan kebangsaan yang lain menjadi momentum dan keyakinan bagi menghadapi perlawanan padat.

“Bermula dengan kejohanan Piala FA pada Sabtu ini sangat penting untuk Selangor FC layak ke pusingan seterusnya, insya-allah kalau kita menang akan bertemu Negeri Sembilan jika layak juga.

“Saya percaya Ketua Jurulatih Katsuhito Kinoshi sedang membuat persiapan terbaik. Tiga pemain kita yang mewakili Harimau Malaya beraksi baik, kedua-dua import Noor Al-Rawabdeh dan Reziq Bani Hani juga cemerlang dengan pasukan Jordan.

“Jadi, aksi terbaik sepanjang 10 hari dalam perlawanan antarabangsa bersama pasukan kebangsaan masing-masing menjadi tonik terbaik dan keyakinan tinggi bagi menghadapi semua kejohanan pada bulan ini,” kata Dr Johan Kamal Hamidon.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik Antara Selangor FC dan Al Kauthar Eduqids dan Perasmian AKE Resort & Training Camp di AKE Resort & Training Camp, Gombak pada 10 September 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara Selangor FC dan Al-Kauthar Eduqids Sdn.Bhd di Kem Latihan Resort AKE, Gombak, hari ini.

Mengulas mengenai prestasi semasa skuad Gergasi Merah Kuning, Dr Johan berkata masih terlalu awal membuat penilaian secara menyuluruh memandangkan kejohanan Liga Super baru memasuki perlawanan keempat.

“Walaupun tidak mendapat keputusan terbaik dari empat perlawanan ini tapi kami percaya dengan perkembangan pasukan serta bimbingan Kino ada perkembangan sihat.

“Pemain mula menerap corak permainan diinginkan Kino selain kebanyakan pemain import kita adalah muka baharu yang memerlukan masa untuk adaptasi namun secara keseluruhan kami merasakan mampu menghasilkan pencapaian positif musim ini,” ujarnya.

Selangor FC akan bertemu pasukan Malaysia University bagi pusingan kedua dalam kejohanan Piala FA di Stadium MBPJ Sabtu ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.