SHAH ALAM, 11 SEPT: Proses menggali semula mayat yang dibenarkan mahkamah mampu membuka jalan kepada kebenaran, membolehkan waris menuntut keadilan atas kematian ahli keluarga.
Peguam Datuk Naran Singh menyatakan beberapa kes berprofil tinggi dalam negara yang menimbulkan keraguan berjaya dirungkai, memberi ruang kepada siasatan lebih menyeluruh dan terperinci.
Kes tersebut termasuk kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd Allahyarham Nazrin Hassan pada 2018 serta kes pelajar tingkatan satu di Sabah Zara Qairina Mahathir.
Terbaharu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Syamsul Haris Shamsudin, 22, di Semenyih, digali semula bagi bedah siasat kedua.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham. Bedah siasat dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.

“Kalau kita lihat kes Cradle Fund, selepas gali semula mayat dan lakukan bedah siasat kedua, baru ada tuduhan. Dalam kes Zara, mayat sudah tanam tetapi tiada sebarang tuduhan.
"Apabila buat bedah siasat, tiba-tiba kita dengar ada unsur buli dan ada yang didakwa. Ini contoh dua kes menunjukkan bedah siasat selepas mayat digali membawa maklumat penting,” katanya.
Berpengalaman lebih 30 tahun dalam perundangan, Naran mencadangkan kerajaan mempertimbang penggubalan undang-undang berkaitan kebenaran menggali semula mayat dan bedah siasat kedua.
Menurutnya, usaha tersebut penting bagi memastikan siasatan lancar, terutama dalam kes kematian mengejut atau melibatkan golongan tertentu seperti pelajar dan belia.
“Mungkin boleh digubal, beri kebenaran kepada kes tertentu. Beri laluan kepada bedah siasat kali kedua dengan dilaksanakan pegawai forensik berlainan disertai ahli keluarga atau peguam,” katanya.