PETALING JAYA, 10 SEPT: Pertandingan paling berprestij di Malaysia, DJ Kebangsaan Beat Thalaivan 2025 bakal berlangsung tidak lama lagi dengan membawa tema “Satu Pentas, Satu Suara”.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa berkata acara itu menghimpunkan barisan juruhebah (DJ) berbakat dari seluruh negara yang akan berentap merebut gelaran juara di pentas mega penuh cahaya, muzik dan visual mendebarkan.
Menurut G Gunaraj, Pusat Khidmat Masyarakatnya tidak ketinggalan memberi sokongan dan sentiasa menekankan pembangunan belia.
"Beat Thalaivan bukan sekadar pertandingan semata-mata, sebaliknya menjadi platform inspirasi yang meraikan kreativiti, seni muzik dan bakat anak muda.
"Ia juga bertujuan memperkasa belia, membina keyakinan diri serta membuka peluang kepada DJ muda untuk menyerlah di peringkat kebangsaan," katanya ketika sidang media, semalam
Beliau menambah, acara tersebut menggariskan objektif utama iaitu memperkasa belia melalui seni kreatif dan muzik dan menonjolkan bakat DJ di pentas kebangsaan.
"Ia juga membina suasana hiburan produktif serta menjadikan Selangor sebagai hab kreatif generasi akan datang," katanya.

Pertandingan dijayakan Real Jockeys, komuniti DJ terkemuka yang komited menyokong perkembangan bakat, dengan kerjasama Trinity Solutions dan NGO, Persatuan Sejahtera Sentosa Selangor.
Pendaftaran mula dibuka hari ini sehingga 23 September secara dalam talian, diikuti sesi uji bakat pada 26 September, separuh akhir (5 Oktober), dan pusingan akhir (15 Oktober).
Berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Gunaraj berkata lebih RM12,000 hadiah wang tunai, sijil penyertaan serta pelbagai ganjaran menarik menanti peserta.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Moneyboy di talian 012-580 3605 atau Hardee Bee di talian 017-314 9460.