SHAH ALAM, 10 SEPT: Banyak tugasan yang tidak terkandung dalam skop kerja hakiki, malah terpaksa melakukannya di luar waktu sekolah antara punca guru terbeban sehingga mengambil keputusan bersara awal.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang berkata guru perlu melakukan kerja pengkeranian selain dibebankan dengan penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang ‘tidak mesra’ pengguna sekali gus menyebabkan hilang minat untuk mengajar.
“Dari tinjauan kita, antara faktornya kerana kebanyakan guru sudah tidak selesa berhadapan dengan macam-macam teknologi dan ICT. Mereka perlu masukkan pelbagai data, kadang-kadang ada kaji selidik yang perlu dijawab dan buat benda berulang.
“Kita faham teknologi penting tetapi kadang-kadang aplikasi atau sistem dalam talian diwujudkan itu tidak mesra. Sistem masih lemah dan menyukarkan guru menyempurnakan tugas terbabit. Kemajuan teknologi sepatutnya memudahkan guru tetapi sebaliknya berlaku,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau mengulas isu kehilangan minat dalam kerjaya dikenal pasti sebagai punca utama guru memilih untuk bersara awal.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata sejak 2022 hingga Mei tahun ini, hampir 20,000 guru memilih bersara awal.
Jelas Kah Woh, berdasarkan data kementerian, sebanyak 67.44 peratus guru memohon persaraan awal menyatakan tidak lagi berminat meneruskan kerjaya sebagai sebab utama.
Ia diikuti masalah keluarga sebanyak 17.43 peratus, masalah kesihatan (7.69 peratus), beban tugas (5.37 peratus) dan masalah peribadi (2.08 peratus).
Wujud jawatan pembantu guru
Bagi menyelesaikan isu bebanan kerja guru, Aminuddin menggesa kerajaan meneliti isu tersebut secara menyeluruh termasuk mewujudkan jawatan pembantu guru di semua sekolah bagi mengambil alih tugasan pengkeranian.
“Manakala untuk sekolah berasrama, NUTP menyarankan guru tidak dilantik sebagai warden sepenuh masa. Jawatan warden perlu disandang individu luar memandangkan tugas terbabit memberi kesan kepada rutin guru.
“Segera teliti isu guru dibebani tugas bukan hakiki. Untuk belanjawan akan datang, NUTP berharap pertimbang langkah untuk meringankan beban guru. Beri lebih banyak peruntukan kepada Kementerian Pendidikan supaya banyak latihan boleh dijalani para guru. Peruntukan yang dapat ketika ini tak banyak jadi sukar untuk jalankan kursus,” katanya.
Ditanya sama ada isu gaji turut menjadi punca guru bersara awal, Aminuddin berkata perkara tersebut bukan faktor utama kerana gred gaji pendidik adalah antara yang tertinggi dalam sistem perkhidmatan awam.