ad

Malaysia antara destinasi terbaik ASEAN bagi pelabur Eropah

10 Sep 2025, 4:56 AM
Malaysia antara destinasi terbaik ASEAN bagi pelabur Eropah
Malaysia antara destinasi terbaik ASEAN bagi pelabur Eropah

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Malaysia muncul sebagai satu daripada empat pasaran ASEAN paling menarik untuk perniagaan Eropah seiring Vietnam, Indonesia dan Thailand, menurut Tinjauan Sentimen Perniagaan Kesatuan Eropah-ASEAN (EU-ASEAN) yang dikeluarkan hari ini.

Edisi ke-11 tinjauan berkenaan oleh Majlis Perniagaan EU-ASEAN (EU-ABC) mendapati ASEAN dianggap menawarkan peluang ekonomi terbaik untuk syarikat Eropah bagi tahun ketiga berturut-turut mengatasi India dan China, walaupun terdapat ketidaktentuan dalam perdagangan global.

Kira-kira 73 peratus responden berkata ASEAN menjadi lebih penting kepada pendapatan global mereka manakala lebih separuh merancang untuk mengembangkan operasi di rantau ini.

Keyakinan perniagaan bagaimanapun dibayangi oleh kebimbangan terhadap kemajuan yang perlahan dalam integrasi ekonomi ASEAN dan penglibatan yang terhad daripada institusi Eropah.

Tinjauan itu juga menunjukkan 71 peratus responden menjangka perdagangan dan pelaburan meningkat di ASEAN dalam tempoh lima tahun akan datang, menurun daripada 86 peratus pada 2024.

Dalam pada itu, 58 peratus berkata halangan bukan tarif terhadap perdagangan semakin meningkat, naik daripada 40 peratus tahun lepas.

Pengarah Eksekutif EU-ABC Chris Humphrey berkata ASEAN terus dilihat sebagai rantau yang paling menjanjikan untuk pertumbuhan tetapi perniagaan Eropah berasa kecewa dengan kemajuan yang perlahan dalam integrasi serantau.

“Langkah bukan tarif, peraturan tidak konsisten dan halangan berterusan terus menambah kos dan kerumitan sekali gus mengehadkan manfaat sepenuhnya daripada potensi pasaran ASEAN.

"Jika usaha yang lebih besar tidak dilakukan bagi menangani halangan ini, rantau ini berisiko gagal mencapai aspirasinya untuk berfungsi sebagai sebuah pasaran tunggal yang benar-benar bersepadu,” katanya.

Beliau berkata syarikat Eropah kekal komited untuk mengembangkan operasi di rantau ini, tetapi untuk memanfaatkan sepenuhnya pertumbuhan ASEAN memerlukan kemajuan yang lebih pantas dalam mengurangkan halangan selain memperdalam integrasi.

"Pada masa yang sama, EU mesti meningkatkan penglibatannya untuk kekal kompetitif dengan perjanjian perdagangan bebas antara rantau kini dilihat sebagai keperluan strategik.

“Ketika penjajaran semula perdagangan global berterusan, ASEAN mesti mempercepatkan integrasi dan Eropah mesti mengutamakan penglibatan bagi memastikan tempatnya dalam kisah pertumbuhan rantau ini,” tambahnya.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.