ad

Lelaki ditahan, pistol, 36 butir peluru dirampas

9 Sep 2025, 3:59 AM
Lelaki ditahan, pistol, 36 butir peluru dirampas

KOTA BHARU, 9 SEPT: Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas sepucuk pistol bersama 36 butir peluru dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kampung Sireh, Kampung Paloh, Pintu Geng, di sini awal pagi Sabtu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata serbuan kira-kira 5 pagi itu dilakukan pasukan Cawangan Siasatan Khas (D9) dan Cawangan (D4) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Beliau berkata suspek berusia 50 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah dan sembilan rekod berkaitan dadah.

“Pemeriksaan lanjut menemui sepucuk pistol jenis Glock 26 Gen 4 Austria 9x9, 34 butir peluru hidup bertulis A Auto 380 Auto, serta dua butir peluru hidup bertulis PAC 380 Auto,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusoff berkata ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif methamphetamine dan kini direman empat hari hingga 10 September bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, ” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.