ad

Gempa bumi Afghanistan: Malaysia hulur bantuan perubatan, makanan dan kewangan

8 Sep 2025, 10:06 AM
Gempa bumi Afghanistan: Malaysia hulur bantuan perubatan, makanan dan kewangan
Gempa bumi Afghanistan: Malaysia hulur bantuan perubatan, makanan dan kewangan
Gempa bumi Afghanistan: Malaysia hulur bantuan perubatan, makanan dan kewangan
Gempa bumi Afghanistan: Malaysia hulur bantuan perubatan, makanan dan kewangan

PUTRAJAYA, 8 SEPT: Malaysia akan menyalurkan bantuan Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR) kepada Afghanistan susulan tragedi gempa bumi kuat yang melanda beberapa wilayah di negara berkenaan pada 31 Ogos lepas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata HADR itu meliputi bantuan perubatan dan kesihatan, bekalan makanan dan bukan makanan, serta penglibatan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO).

"Kerajaan juga akan mempertimbangkan pemberian bantuan kewangan kepada Afghanistan, yang jumlahnya akan ditentukan oleh Jemaah Menteri.

"Tiada keperluan untuk menggerakkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Afghanistan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata perkara itu diputuskan berdasarkan maklumat dan ulasan yang diperoleh daripada Kedutaan Afghanistan di Malaysia serta Kementerian Luar (KLN).

Ahmad Zahid dalam pada itu, turut merakamkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam kepada rakyat Afghanistan susulan bencana itu yang telah mengorbankan banyak nyawa, mencederakan ratusan ribu penduduk, serta menyebabkan kerosakan besar kepada infrastruktur dan penempatan awam.

"Kerajaan Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Afghanistan yang terkesan akibat bencana ini, dan menegaskan komitmen berterusan untuk bersama-sama masyarakat antarabangsa dalam usaha meringankan penderitaan mereka," katanya.

Pada 31 Ogos lepas, gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter direkodkan di pergunungan Hindu Kush, kira-kira 27 kilometer barat daya bandar Asadabad di timur Afghanistan.

Menurut data terkini, jumlah korban kini melebihi 2,200 orang, manakala kira-kira 3,600 lagi cedera.

Pada 2 Sept, satu lagi gempa bumi berukuran 5.5 pada skala Richter melanda pergunungan Hindu Kush.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.