ad

RUU Pekerja Gig lindungi 40,000 penggiat seni dan pekerja kreatif

8 Sep 2025, 9:09 AM
RUU Pekerja Gig lindungi 40,000 penggiat seni dan pekerja kreatif

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching yakin Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang mempunyai mekanisme penyelesaian pertikaian (dispute mechanism) yang jelas mampu membela nasib sekitar 30,000 hingga 40,000 pekerja gig dalam industri kreatif.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi juga percaya RUU itu sangat penting kepada penggiat seni yang selama ini berhadapan risiko tidak menentu seperti isu bayaran tertunggak, ketiadaan perlindungan sosial serta keselamatan termasuk ketika bekerja di set penggambaran.

Teo berkata penubuhan Majlis Rundingan Tripartite menerusi RUU itu akan membolehkan pekerja gig berbincang mengenai gaji atau kadar upah minimum serta syarat-syarat lain yang perlu dimasukkan dalam kontrak.

“Saya percaya ia sangat penting supaya penggiat seni juga tahu apa tawaran baharu dan bantuan yang sebenarnya ditawarkan oleh RUU Pekerja Gig 2025 ini.

“Saya juga berharap dan percaya RUU ini dapat sokongan ketika pembentangan di Dewan Negara esok,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat khas RUU Pekerja Gig 2025 bersama Menteri Sumber Manusia Steven Sim di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Finas Datuk Hans Isaac, Ketua Pegawai Eksekutif Finas Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) Khalil Saleh.

Terdahulu dalam ucapannya, Teo berkata Kementerian Komunikasi memberikan sokongan penuh kepada RUU itu selain berusaha memastikan warga industri kreatif mendapat penerangan yang tepat untuk memahami secara menyeluruh bagaimana undang-undang tersebut melindungi mereka.

“RUU ini juga melengkapi usaha yang telah pun dilaksanakan oleh Finas bersama Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) untuk menyediakan jaringan perlindungan sosial kepada penggiat seni dan kru produksi. Dengan adanya kerangka undang-undang ini, usaha tersebut kini lebih kukuh dan menyeluruh.

“RUU ini membawa beberapa perubahan besar termasuk melindungi hak pekerja gig, kewajipan entiti kontrak, mengawal selia terma dan syarat perjanjian perkhidmatan, tribunal pekerja gig serta melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja gig,” katanya.

RUU Pekerja Gig 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Ogos lepas, dijadual untuk dibentangkan di Dewan Negara esok sebelum diwartakan dan dikuatkuasakan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.