KLANG, 7 SEPT: Semangat perpaduan dan keamanan jelas terserlah apabila lebih 70,000 peserta pelbagai kaum dan agama dari seluruh negara menyertai Run For Peace anjuran Persatuan Soka Gakkai Malaysia sempena ulang tahun ke-20 persatuan itu, hari ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penganjuran larian tersebut membuktikan kesungguhan persatuan berkenaan dalam memupuk budaya damai melalui aktiviti sihat dan inklusif.

“Saya ucapkan tahniah kepada Persatuan Soka Gakkai Malaysia yang sentiasa komited menganjurkan larian ini dan menyampaikan mesej keamanan, suatu nilai yang sangat penting dalam kehidupan bermasyarakat serta pembangunan negeri kita.
“Kita sedang menyaksikan dunia yang semakin mencabar walaupun kita sering menyebut soal globalisasi dan semangat kemanusiaan sejagat, namun sejak kebelakangan ini, semakin banyak kecenderungan untuk membezakan antara satu sama lain.
“Sebab itu, larian seperti ini amat besar maknanya. Ia hadir tepat pada waktunya sebagai peringatan bahawa keamanan dan kestabilan adalah keperluan asas bagi manusia, bukan sahaja hari ini tetapi untuk masa depan,” katanya ketika merasmikan acara berkenaan di Padang Awam Taman Klang Jaya, di sini.

Amirudin turut menegaskan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) tidak boleh dipikul kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua lapisan masyarakat.
“Kita perlu ada tanggungjawab lebih besar untuk SDGs tetapi kalau kita berperang, menimbulkan permusuhan, mengapi-apikan perbezaan antara kaum, kita tidak akan mampu menangani isu berkaitan SDGs,” katanya.
