SHAH ALAM, 6 SEPT: Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh pada esok hingga Isnin ini, bermula jam 11.28 malam hingga 4.55 pagi.
Di Malaysia, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) berkata, semua peringkat fasa gerhana boleh dilihat dengan jelas sekiranya cuaca mengizinkan.
"Fenomena ini berlaku hanya beberapa hari sebelum bulan berada paling hampir dengan bumi (perigee) iaitu pada jarak 364,773 kilometer.
"Ketika kemuncak, bulan akan kelihatan berwarna merah jingga, dikenali sebagai 'Blood Moon', hasil pembiasan cahaya matahari oleh atmosfera bumi," katanya.
Menurut MYSA lagi, keseluruhan gerhana kali ini (tidak termasuk fasa penumbra) berlangsung tiga jam 30 minit, manakala fasa penuh berlaku selama sejam 22 minit.
Fenomena sama turut dapat disaksikan di Eropah, Afrika, Asia, Australia dan New Zealand.
Berikut Fasa Gerhana Bulan Penuh:
Fasa Penumbra bermula: 11.28 malam
Fasa Separa bermula: 12.26 pagi
Fasa Penuh bermula: 1.30 pagi
Fasa Penuh Maksima: 2.11 pagi
Fasa Penuh berakhir: 2.53 pagi
Fasa Separa tamat: 3.56 pagi
Fasa Penumbra tamat: 4.55 pagi



