ad

KBS sedia serah pengurusan NFDP, AMD selepas FAM selesaikan isu dalaman

5 Sep 2025, 12:44 PM
KBS sedia serah pengurusan NFDP, AMD selepas FAM selesaikan isu dalaman

PUTRAJAYA, 5 SEPT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia menyerahkan pengurusan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun hanya akan dimuktamadkan selepas badan induk itu menyelesaikan isu kepimpinannya.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata langkah penyerahan dua program pembangunan sukan itu sejajar dengan penilaian telah dibuat oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Saya memang hendak melepaskan kerana kita ada penilaian dibuat AFC. Perbincangan telah bermula tetapi saya mahu FAM selesaikan dulu (isu) presiden mereka.

“Apabila semua sudah okey (selesai), baru kita cakap tentang handover (penyerahan)… yang ini lebih penting. Kerana bukan saya tidak mahu serah, sebaliknya cuma mahu pastikan semuanya bersedia,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sebelum ini, FAM memaklumkan badan induk itu telah bersedia mengambil alih NFDP dan AMD sekiranya mendapat mandat daripada KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Pada Ogos, FAM mengesahkan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sah melepaskan jawatan presiden badan induk itu, hanya enam bulan selepas menjawat jawatan itu pada Februari lepas.

Sehubungan itu, FAM mengumumkan Timbalan Presiden Datuk Mohd Yusoff Mahadi dilantik sebagai Pemangku Presiden berkuat kuasa serta-merta.

-- BERNAMA

TAG: bola sepak, KBS, NFDP, AMD

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.