ad

Sistem kembali pulih, orang ramai lega dapat tebus SARA

3 Sep 2025, 1:15 PM
Sistem kembali pulih, orang ramai lega dapat tebus SARA
Sistem kembali pulih, orang ramai lega dapat tebus SARA
Sistem kembali pulih, orang ramai lega dapat tebus SARA
Sistem kembali pulih, orang ramai lega dapat tebus SARA
Sistem kembali pulih, orang ramai lega dapat tebus SARA

AMPANG JAYA, 3 SEPT: Orang ramai khususnya di daerah ini mengambil peluang mendapatkan barangan asas selepas sistem Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang tergendala beberapa hari lalu kembali pulih.

Tinjauan Media Selangor di sebuah pasar raya mendapati orang ramai memilih barangan keperluan untuk ditebus menggunakan bantuan SARA RM100 yang dikreditkan sejak 31 Ogos lalu. Setakat 12 tengah hari tadi semua berjalan lancar.

Suri rumah, Mita Seth, 42, bersama anaknya berpeluang menebus setiap seorang RM100 dengan lancar, walaupun terpaksa beratur panjang selama 45 minit kerana jumlah pelanggan ramai.

Menurutnya, beliau hadir ke Lotus Ampang membuat penebusan kali ketiga selepas 31 Ogos dan 1 September disebabkan sistem pembayaran mengalami gangguan teknikal.

Mita Seth, 42. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Jadi saya memilih hadir pada hari biasa waktu pagi bersama anak untuk menebus, semuanya berjalan lancar walaupun orang ramai. Saya harap kerajaan buka lebih banyak kaunter bayaran,” katanya ketika ditemui hari ini.

Selain itu, Ikmal Emir Kamal Baharin, 29, bersyukur selepas berjaya membeli barangan keperluan walaupun terpaksa menunggu lama untuk urusan penebusan kerana hanya tiga kaunter dibuka.

Ikmal Emir Kamal Baharin, 29. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Hari ini kali kedua datang di Lotus Ampang, semalam saya dan isteri cuba tebus di pasar raya Rosyam Mart tetapi gagal kerana sistem tergendala. Usaha kerajaan melalui bantuan SARA RM100 sangat baik, tapi harap sistem bayaran lebih tersusun,” ujarnya.

Mengalami situasi sama, Mohamad Zamir Zekri, 29, berasa gembira dapat menebus RM100 bersama isteri memandangkan sebelum ini pulang dengan hampa.

Mohamad Zamir Zakri, 29. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Sebelum ini datang dua kali pada 31 Ogos dan 1 September namun gagal tebus sistem mengalami masalah dan akhirnya berjaya hari ini. SARA sangat membantu, langkah kerajaan had barang tertentu positif kerana dikhuatiri bantuan diguna beli barang yang tidak sepatutnya,” katanya.

Bagi Ravi Chandran, 48, beliau berpuas hati dapat membuat penebusan bersama isteri dengan lancar hari ini.

Ravi Chandran, 48. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Semalam, saya hadir untuk tebus, beratur panjang dan pulang dengan tangan kosong selepas dimaklumkan sistem mengalami gangguan. Jadi, saya harap semua warganegara yang lain dapat tebus RM100 tanpa sebarang masalah,” maklumnya.

Berbeza situasi, pekerja swasta Vyelanu Paulus, 21, beliau memilih untuk membuat tebusan SARA RM100 pada waktu lain selepas melihat ramai terkandas untuk menebus bantuan itu.

“Saya rancang tebus RM100 untuk pembelian barang dapur seterusnya, hari ini beli pakai duit gaji dulu. Kiranya, SARA sebagai kecemasan dan jangka panjang, untuk elak dahulu situasi terperangkap beratur panjang sebab masalah sistem,” katanya.

Vyelanu Paulus, 21. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Pesara, Zahari Razali, 65, tidak berhasrat menggunakan bantuan itu dengan menyifatkan mampu membeli barang keperluan sendiri.

“Saya akan biarkan sahaja bantuan RM100 yang sudah dikredit dalam kad pengenalan hingga tarikh luput, kemudian terserah kepada kerajaan untuk tentukan kaedah agihan pada golongan rentan,” kongsinya.

Zahari Razali, 65. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan lebih 2.9 juta rakyat membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit SARA dalam tempoh tiga hari dengan jumlah perbelanjaan rakyat mencecah RM192.4 juta di seluruh negara.

Hari ketiga pelaksanaan SARA mencatat jumlah transaksi tertinggi dengan lebih 1.1 juta transaksi berjaya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.