MOF mohon maaf gangguan sistem pada hari pertama pelaksanaan SARA

1 Sep 2025, 2:03 AM
MOF mohon maaf gangguan sistem pada hari pertama pelaksanaan SARA

SHAH ALAM, 1 SEPT: Kementerian Kewangan (MOF) memohon maaf atas kesulitan yang dialami rakyat berikutan gangguan sistem pada hari pertama pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), semalam.

Dalam kenyataannya, MOF menjelaskan sistem rangkaian MyKasih mengalami penurunan prestasi berikutan jumlah transaksi mendadak susulan sambutan luar biasa penerima SARA.

“MOF dan MyKasih telah mengambil langkah untuk meningkatkan kapasiti sistem supaya pada esok (1 Sept 2025), rakyat dapat terus membuat pembelian melalui SARA dengan lancar tanpa gangguan.

“Bagi memastikan sistem kembali stabil dan bersedia untuk rakyat meneruskan perbelanjaan melalui SARA pada 1 Sept 2025, pihak MyKasih akan melaksanakan kerja penyelenggaraan sistem pada malam ini,” menurut kenyataan itu.

Walaupun sistem beroperasi lebih perlahan, MOF menegaskan semua transaksi masih diterima dan diproses.

Sehingga jam 9.30 malam tadi, kira-kira 850,000 rakyat berbelanja lebih RM50 juta menggunakan kemudahan SARA, jauh melebihi purata 600,000 transaksi harian yang direkodkan pada pelaksanaan bulanan sebelum ini.

MOF turut mengingatkan bahawa kredit RM100 sekali bayar SARA kekal sah sehingga 31 Disember 2025, dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar seluruh negara.

Penghargaan SARA RM100 ialah bantuan tunai sekali bayar diberikan kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas, yang dikreditkan terus ke dalam MyKad masing-masing.