SHAH ALAM, 31 OGOS: Polis Selangor mula memperoleh petunjuk baharu berhubung insiden pelajar tingkatan tiga yang terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata pihaknya masih menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan setiap aspek diperhalusi sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
“Siasatan berhubung kejadian ini masih dijalankan secara menyeluruh dan setakat ini hala tuju dilihat semakin positif untuk mendapatkan punca sebenar kejadian.
“Polis juga menerima kerjasama yang baik daripada semua pihak berhubung siasatan yang dijalankan setakat ini,” katanya seperti dilapor Astro Awani.
Sebelum ini media melaporkan lebih 12 individu termasuk pelajar dan kakitangan sekolah sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam kejadian pada 24 Ogos lalu, mangsa parah selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Sabak Bernam, kemudian dirujuk ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001, manakala Kementerian Pendidikan turut melaksanakan siasatan dalaman berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan asrama.