GOMBAK, 31 OGOS: Kerajaan Negeri bakal bekerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi menangani kadar kesuburan yang kian menurun.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata usaha tersebut bagi mendidik masyarakat kepentingan institusi kekeluargaan selain tidak menumpukan kemajuan semata-semata.

“Tahap kesuburan di Selangor agak membimbangkan dengan mencatatkan purata 1.5 anak bagi setiap wanita berbanding paras penggantian generasi iaitu 2.1 anak.
“Antara faktor utama penurunan disebabkan ekonomi dan lambat berkahwin. Seharusnya perkara ini ditangani satu persatu dengan usaha kolektif supaya masyarakat faham pentingnya institusi kekeluargaan.
“Oleh itu, kita akan kerjasama dengan LPPKN dengan anjurkan program-program kekeluargaan. Selain itu, dengan Jabatan Pendidikan untuk beri kesedaran kepada pelajar-pelajar sekolah,” ujarnya.
Beliau ditemui pada Karnival Sukan Rakyat dan Kebudayaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer di sini hari ini.

Sebelum ini, Anfaal memaklumkan trend kahwin lewat dikenal pasti menjadi antara punca utama kadar kesuburan rendah di Selangor.
Beliau menjelaskan, perkahwinan pada usia lewat mengurangkan tempoh produktif generasi muda yang lazimnya terhad sebelum mencecah usia 40 hingga 50 tahun.