GOMBAK, 31 OGOS: Semangat cintakan tanah air mendorong seorang lelaki kurang upaya (OKU) berkerusi roda meredah perjalanan lebih 1km demi menyertai sambutan Hari Kemerdekaan di sini, hari ini.
Mohd Faiz Muhamad, 40, berkata beliau tidak rasa terbeban malah menganggap ia pengorbanan dan tanda kasih pada tanah air tercinta.

“Setiap tahun saya memang sentiasa beri sokongan untuk menyambut kemerdekaan. Dengan menggunakan kerusi roda elektrik, saya bergerak sejauh lebih satu kilometer untuk ke karnival di Kampung Selayang Indah.
“Saya langsung tidak rasa terbeban sebab tanda sayang dan cinta pada tanah air mengatasinya. Isu keselamatan saya serahkan pada Allah SWT,” katanya ketika ditemui pada Karnival Sukan Rakyat dan Kebudayaan Dewan Undangan Negeri Taman Templer.

Karnival anjuran Jabatan Perpaduan Gombak itu menghimpunkan 16 kawasan rukun tetangga (KRT) dan empat tabika yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri Taman Templer Anfaal Saari.
Sementara itu, Anfaal berkata penganjuran karnival seperti ini membolehkannya mendengar isu setempat secara terus daripada masyarakat.

“Sebagai EXCO, sudah pasti masa saya banyak di negeri tetapi dengan adanya karnival, ini peluang untuk mendekati rakyat dengan isu atau cadangan.
“Seharusnya program seperti ini diteruskan pada masa akan datang kerana dapat beri pemahaman pada generasi muda erti kemerdekaan selain forum atau ceramah,” katanya.
Ketua Kampung Selayang Indah Abdul Halim Seleman berkata inisiatif julung kali itu membuka ruang untuk penduduk pelbagai komuniti berkenalan dan mengeratkan hubungan.

“Ini julung kali program diadakan libat 16 KRT berbanding sebelum ini hanya komuniti setempat sahaja.
“Pada awalnya mereka ingat sambutan biasa tetapi apabila tahu ada aktiviti lain semua teruja. Tiba masanya pelbagai program dilaksana dengan gabungan beberapa kawasan, kita dapat berkenalan satu sama lain walaupun duduk di kawasan berbeza,” katanya.
