ad

Pearly-Thinaah cipta sejarah, mara final Kejohanan Dunia

30 Ogos 2025, 1:53 PM
Pearly-Thinaah cipta sejarah, mara final Kejohanan Dunia

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M.Thinaah melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wakil sulung Malaysia mara ke pentas akhir Kejohanan Badminton Dunia selepas menewaskan pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, di Adidas Arena, hari ini.

Dalam aksi separuh akhir penuh dramatik yang berlangsung 68 minit, pasangan ranking kedua dunia itu bangkit selepas tewas set pertama untuk menundukkan gandingan pilihan ketiga dunia 14-21, 21-13, 21-12.

Kemenangan itu juga menyaksikan Pearly-Thinaah memecah dominasi lawan, sekali gus mencatat kemenangan ketiga daripada 16 pertemuan menentang Matsuyama-Shida.

Di final esok, mereka bakal berdepan sama ada beregu pilihan utama dari China, Liu Shengshu-Tan Ning atau pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi.

Kemaraan ini adalah pencapaian terbaik Pearly-Thinaah dalam empat penampilan di Kejohanan Dunia, selepas rekod terbaik sebelum ini hanya mara ke suku akhir edisi 2023.

“Sukar dipercayai kami berjaya melangkah ke final selepas apa yang dilalui dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Hari ini, kata-kata tidak dapat menggambarkan betapa gembiranya kami,” kata Pearly menerusi audio dikongsikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Dengan keputusan itu, Matsuyama-Shida terpaksa berpuas hati membawa pulang pingat gangsa.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.