ad

Demi semangat merdeka, kumpulan pemuda 'berperang' dengan kenangan dan warisan

31 Ogos 2025, 2:00 AM
Demi semangat merdeka, kumpulan pemuda 'berperang' dengan kenangan dan warisan
Demi semangat merdeka, kumpulan pemuda 'berperang' dengan kenangan dan warisan
Demi semangat merdeka, kumpulan pemuda 'berperang' dengan kenangan dan warisan
Demi semangat merdeka, kumpulan pemuda 'berperang' dengan kenangan dan warisan
Demi semangat merdeka, kumpulan pemuda 'berperang' dengan kenangan dan warisan

Di bawah panas terik matahari, sekumpulan lelaki tegap berdiri di tepi jalan Kampung Sungai Jai, Beranang. Panas yang membahang tidak dihiraukan.

Di tubuh mereka tersarung seragam tentera lengkap dari topi hingga ke kasut, seakan-akan membawa kita kembali ke zaman silam.

Masa seolah-olah terhenti. Bayangan zaman ketenteraan era 1930-an hingga 1940-an kembali hidup. Dengan Jalur Gemilang berkibar megah, suara mereka bergema lantang menyanyikan lagu kebangsaan.

Inilah aktiviti Persatuan Reka Ulang Sejarah, sekumpulan anak muda yang memilih untuk menghidupkan kembali warisan perjuangan bangsa.

Namun mereka bukan sekadar memperaga pakaian tentera lama. Kompas, telefon klasik, bahkan cara menggunakannya turut dipelajari, persis perwira tanah air zaman dahulu.

Antara koleksi Abdul Hakim Abdul Rani (kanan) bersama rakan-rakannya di Kampung Sungai Jai, Beranang, Hulu Langat pada 16 Ogos 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Medan perjuangan

Bagi Pengerusinya Abdul Hakim Abdul Rani, 33, seragam lusuh dan butang besi yang dikumpul tidak pernah dianggap sekadar hobi.

Sebaliknya, ia menjadi medan perjuangan baharu, mendidik masyarakat agar tidak melupakan wira negara.

“Ramai guru sejarah suka panggil kami buat pameran di sekolah. Murid-murid sangat teruja bila nampak pakaian askar, apatah lagi bila dapat sentuh dan cuba sendiri.

“Apa yang mereka hanya baca dalam buku teks, kini dapat dilihat secara nyata di depan mata,” katanya kepada Media Selangor.

Ahli Persatuan Reka Ulang Sejarah mengenakan pakaian seragam Askar Melayu zaman British dan tentera Jepun pada zaman Perang Dunia Kedua di Kampung Sungai Jai, Beranang, Hulu Langat pada 16 Ogos 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Koleksi bernilai

Bekas askar wataniah itu memiliki lebih 30 set seragam tentera. Namun paling berharga baginya ialah seragam berpangkat 'Colour Sergeant' seperti dipakai wira negara, Leftenan Adnan Saidi.

Untuk mendapatkan pakaian itu, beliau sanggup berhabis ribuan ringgit membelinya daripada pengumpul dalam dan luar negara. Malah ada yang diburu di pasar karat.

Lebih istimewa, koleksi itu turut dihiasi dua lencana asal milik Leftenan Adnan iaitu Lencana Penembak Tepat (Marksman Badge) dan Lencana Kemahiran Senjata Lewis (Lewis Gun Proficiency Badge).

“Leftenan Adnan memang terkenal dengan kepakaran menembak seperti dipaparkan dalam filem tentang beliau.

“Jadi, dua lencana ini amat saya sayangi. Ia bukan sekadar lencana tetapi sebahagian daripada roh perjuangan beliau,” katanya.

Antara koleksi Abdul Hakim Abdul Rani bersama koleksi yang dimiliknya di Kampung Sungai Jai, Beranang, Hulu Langat pada 16 Ogos 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Minat mendalam

Minat Abdul Hakim terhadap dunia ketenteraan bermula sejak di universiti melalui Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes).

Walaupun hasrat untuk melanjutkan pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia tidak kesampaian, beliau tetap meneruskan langkah sebagai askar wataniah.

Tuntutan kerja hakiki memaksanya meninggalkan khidmat itu, namun semangatnya tidak pernah padam.

“Saya teruskan dedikasi kecintaan saya dengan cara lain iaitu menghidupkan sejarah melalui uniform,” katanya yang menerajui lebih 30 ahli.

Kini, Abdul Hakim dan rakan-rakannya bukan sahaja mengumpul seragam, malah menjadi penasihat produksi filem tempatan termasuk "Pagari Bulan" dan dokumentari "Persada Merdeka".

Antara koleksi Abdul Hakim Abdul Rani di Kampung Sungai Jai, Beranang, Hulu Langat pada 16 Ogos 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Warisan bangsa

Bagi beliau, setiap helaian kain dan butang logam adalah warisan bangsa yang tidak ternilai.

“Kalau ada orang nak buang barang lama, saya akan kutip. Lebih baik kita pamerkan supaya generasi akan datang tahu kisahnya,” katanya lagi.

Daripada cita-cita menjadi tentera yang tidak kesampaian, Abdul Hakim kini muncul sebagai ‘askar sejarah’ yang berjuang di medan berbeza.

Bukan dengan senjata dan peluru, tetapi dengan kenangan, pendidikan dan pewarisan semangat merdeka yang tidak pernah padam.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.