SHAH ALAM, 28 OGOS: Seramai 2,567 pesawah di bawah IADA Barat Laut Selangor menerima latihan intensif sepanjang tahun ini sebagai usaha meningkatkan hasil dan menjadikan Selangor model negeri perintis padi berteknologi tinggi.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, latihan berkenaan meliputi teknik penanaman moden, kawalan penyakit dan perosak, serta pengurusan ladang lebih cekap.
“Pesawah turut diberikan akses kepada benih baharu yang lebih tahan penyakit dan cepat matang, selain dibekalkan peralatan automasi seperti mesin pembajak, jentanam dan jentuai melalui IADA.
“Selangor dipilih sebagai negeri perintis bagi pertanian padi pintar dengan indikator kejayaan termasuk peningkatan hasil sehektar, penggunaan input secara cekap, pendapatan pesawah meningkat dan pengurangan racun perosak melalui IPM,” menurut jawapan bertulis kementerian di Parlimen pada Rabu bagi menjawab soalan diberikan Ahli Parlimen Sungai Besar Datuk Muslimin Yahaya.
Kementerian turut yakin yang pendekatan ini dapat melonjakkan pengeluaran padi tempatan, sekali gus menjadikan Selangor sebagai model transformasi sektor makanan negara.





