ad

Kes pasang Jalur Gemilang terbalik, polis rakam keterangan pemilik premis

27 Ogos 2025, 11:10 AM
Kes pasang Jalur Gemilang terbalik, polis rakam keterangan pemilik premis

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Polis telah merakam keterangan beberapa individu berhubung insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah premis di Jalan Medan Batu Caves 1, Selayang dekat sini pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada 11.29 pagi hari kejadian.

“Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.

“Siasatan telah dilengkapkan. Percakapan pemilik premis dan yang terlibat juga telah dirakam. Bomba hadir bantu untuk turunkan bendera,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor dalam kenyataan berasingan memaklumkan sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang telah ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan oleh pihak polis, seterusnya menurunkan bendera itu.

Sebelum ini, tular video berdurasi 30 saat di platform media sosial Instagram memaparkan pihak bomba hadir ke lokasi untuk menurunkan Jalur Gemilang yang dipasang terbalik itu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.