SHAH ALAM, 27 OGOS: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Klang, Shah Alam dan Petaling Jaya dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata projek itu pada asalnya dirancang beroperasi penghujung suku ketiga tahun ini namun berlaku sedikit kelewatan berikutan beberapa ujian sistem masih dijalankan.
“Namun begitu, kami komited untuk memastikan jajaran awal LRT3 dari Klang ke Petaling Jaya akan mula beroperasi sebelum hujung tahun,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau menegaskan kerja-kerja akhir projek berkenaan dipantau rapi dan yakin ia dapat dibuka kepada orang ramai seperti dijadualkan.
Sebelum ini, media melaporkan perkhidmatan LRT3 sepatutnya bermula 30 September selepas projek itu diserahkan sepenuhnya kepada Prasarana Malaysia Berhad oleh kontraktor utama pada 31 Julai lalu.
Setakat 10 Julai, tahap kemajuan projek tersebut mencapai 99.21 peratus.
LRT3 dijangka memberi manfaat kepada hampir dua juta penduduk di sepanjang laluan terutama di kawasan berpenduduk padat seperti Bandar Utama, Shah Alam dan Klang.
Laluan baharu itu mampu membawa sehingga 18,630 penumpang sejam bagi setiap arah serta berperanan mengurangkan kesesakan lalu lintas selain merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.




