SHAH ALAM, 25 OGOS: Gerakan New Age Movement (NAM) membawa ancaman serius terhadap akidah kerana mempromosikan ideologi dan amalan yang bercanggah dengan asas ajaran Islam.
Pengarah Pusat Islam Masjid UKM Dr Wan Haslan Khairuddin berkata, NAM juga mempromosikan pluralisme yang menganggap semua agama memiliki kebenaran yang sama.
“Antara ideologi asas, NAM didapati bahawa gerakan ini muncul sebagai alternatif agama dengan menyebarkan fahaman seperti monism, panteisme, humanity is God, mistisisme, pluralisme, eklektisisme dan religious syncretism.
“NAM juga mempromosikan fahaman self-empowerment, higher self dan kuasa manusia serta alam yang menafikan kebergantungan mutlak kepada Allah subhanahu wa ta'ala sebagai pencipta dan pengatur alam,” katanya.
Beliau merupakan salah seorang daripada tiga pembentang pada program diskusi ‘Pendedahan New Age Movement Dalam Motivasi Islam’ anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Hotel De Palma di sini, hari ini.
Menurutnya, NAM bukan sekadar fenomena sosial atau budaya tetapi sebuah gerakan spiritual yang berbeza daripada agama arus perdana yang disebut sebagai New Age Spirituality atau ‘Gerakan Spiritual Baharu’.
“NAM menganggap kehidupan duniawi, budaya, hiburan dan alam semesta secara keseluruhan adalah sesuatu yang perlu dihargai dan dinikmati.
“Ajaran NAM menyalahi konsep tauhid Islam (zat, sifat, perbuatan Allah) berlandas kalimah syahadah,” ujarnya.