SHAH ALAM, 25 OGOS: Seramai 5,965 pelajar tingkatan enam daripada 37 Pusat Tingkatan Enam (PTE) di negeri ini menerima inisiatif Bantuan Awal Persekolahan (BAP).
Dengan dana peruntukan RM894,750, bantuan yang disediakan melalui Belanjawan 2025 Kerajaan Persekutuan itu disampaikan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.
Amirudin memaklumkan menerusi bantuan tersebut, ia peluang baik kepada pelajar tingkatan enam berikutan dapat mengadaptasi kehidupan sebenar di kampus.
"Tingkatan enam adalah ruang sebelum memasuki gerbang universiti selain matrikulasi dan diploma. Biarpun tingkatan enam sering dikatakan pilihan ketiga atau keempat sebenarnya ia merupakan pintu kepada pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tiggi.
"Namun, sebenarnya tingkatan enam mempunyai kelebihan dalam memahami dan menjadikan semua lebih matang untuk masuk ke peringkat universiti berbanding di peringkat matrikulasi.

"Sebab itu, ada sedikit tranformasi dalam sistem pendidikan sekarang yang mengubah tingkatan enam seolah-olah sudah masuk ke universiti yang dinamakan prauniversiti," ucapnya pada majlis penyerahan BAP kepada pelajar tingkatan enam di Kolej Tingkatan Enam Shah Alam hari ini.
Terdahulu, pada majlis sama, Amirudin turut menyerahkan insentif kecemerlangan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 bernilai RM1,000 kepada 15 pelajar cemerlang.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Dato' Dr Aminuddin Hassim memaklumkan secara keseluruhan bantuan awal yang diagihkan berjumlah lebih RM791 juta kepada murid tahun satu sehingga tingkatan enam seluruh negara.
"Pada tahun ini, julung kali pemberian bantuan ini diperluas kepada pelajar tingkatan enam bagi tujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan.
"Semoga bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan menjadi pemangkin kepada kejayaan anak-anak,"katanya.