SHAH ALAM, 24 OGOS: Gegaran gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 yang berlaku di Segamat, Johor pada 6.13 pagi tadi turut dirasai penduduk di Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa bumi pada kedalaman 10km itu berlaku kira-kira 5km barat Segamat.
Tiga jam kemudian, gegaran kedua berukuran magnitud 2.8 direkodkan di 28km barat laut Kluang pada jam 9 pagi, yang turut dirasai di Negeri Sembilan, Melaka dan selatan Pahang.
Gegaran tersebut mencetuskan suasana cemas khususnya dalam kalangan penduduk sekitar Segamat yang sedang bersiap memulakan rutin harian.
Perkembangan susulan:
Kerajaan Johor nasihat orang ramai jauhi struktur tidak kukuh serta sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa
Polis sahkan tiada laporan kerosakan harta benda, kecederaan atau kematian diterima takat tengah hari tadi
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor berada dalam keadaan siap siaga untuk pantau dan bertindak balas terhadap sebarang kemungkinan
Petronas Gas Bhd (PGB) mengesahkan semua infrastruktur serta kemudahan saluran paip gas di kawasan terlibat selamat dan beroperasi seperti biasa
Polis terima tiga laporan takat petang ini libatkan kerosakan harta benda, bagaimanapun tiada mangsa cedera atau kematian dilaporkan


