SABAK BERNAM, 23 OGOS: Kerajaan Selangor sedang menunggu keputusan rasmi daripada kerajaan Persekutuan berhubung cadangan larangan penjualan rokok elektronik (vape).
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata, perkara itu susulan kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Seri Dr Dzulkefly Ahmad bahawa kerajaan sedang dalam mempertimbangkan pengharaman penjualan dan penggunaan rokok elektronik di seluruh negara pada persidangan Dewan Rakyat.
“Kita akan cuba dapatkan makluman, tetapi setakat ini belum ada pengesahan garis masa pelaksanaan larangan tersebut.
“Ini kerana banyak hala tuju dan dasar Kerajaan Negeri juga bergantung pada hala tuju kerajaan Persekutuan. Jadi, jika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan larangan penuh, ia akan berkuat kuasa di seluruh negara termasuk Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Bebas Plastik Siri 3 di Pengkalan Sabak, hari ini.
Tambah Jamaliah, buat masa ini Selangor meneruskan dasar sedia ada iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) menyita iklan yang memaparkan vape di seluruh negeri.
“Selangor juga terus dapatkan maklum balas dari pihak dan agensi berkaitan terhadap cadangan larangan untuk rangka undang-undang yang boleh diguna pakai dalam usaha lindung tahap kesejahteraan kesihatan rakyat ,” jelasnya.
Sebelum ini, Dzulkefly memaklumkan satu Memorandum Jemaah Menteri (MJM) berhubung pengharaman rokok elektronik akan dibentangkan kepada Kabinet selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Katanya, KKM juga telah membentang laporan cadangan awal jawatankuasa pakar dalam mesyuarat Kabinet semalam.