SABAK BERNAM, 23 OGOS: Selangor akan menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik selama tiga hari dari Jumaat hingga Ahad di semua premis pada tahun depan.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata Jabatan Perundangan Selangor kini dalam fasa terakhir semakan semula undang-undang berkaitan penguatkuasaan, termasuk merangka pewartaan garis panduan baharu.
“Kita khuatiri sekiranya dilaksanakan tanpa mempunyai punca kuasa bukan semua pihak akan patuh. Jabatan perundangan dijangka selesai rangka undang-undang larangan pada akhir tahun ini.
“Jadi karnival bebas kempen bebas plastik yang dianjurkan sebanyak empat siri bukan sahaja memberi kesedaran pada masyarakat dan agensi-agensi malah persediaan menghadapi larangan ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Kempen Bebas Plastik Siri 3 di Pengkalan Sabak di sini, hari ini.
Jamaliah menambah Kerajaan Negeri juga sedang meneliti cadangan untuk menaikkan kadar caj beg plastik bagi menggalakkan lebih ramai pengguna membawa beg guna semula masing-masing.
“Kadar caj baharu masih dalam kajian dan cadangan dari pejabat saya namun akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) terlebih dahulu supaya setiap EXCO lain dapat memberikan pandangan kadar yang terbaik untuk pelaksanaan perkara ini,”ujarnya.
Pada masa sama, Jamaliah memberitahu pihaknya sedang memuktamadkan pelaksanaan larangan penggunaan polisterena dan penyedut minuman plastik sebagai syarat tambahan untuk permohonan lesen perniagaan.
“Pentadbiran negeri juga telah meluluskan pekeliling bagi melarang penggunaan plastik sekali guna di bangunan kerajaan,” katanya lagi.
Menurutnya, semua cadangan dasar, perundangan, pemantauan dan penguatkuasaan yang digubal ini merupakan langkah Selangor mencapai matlamat Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna Negeri Selangor menjelang 2030.
“Proses Undang-Undang Kecil (UUK) bagi menyelaraskan pelaksanaan Hari Tanpa Beg Plastik secara menyeluruh di 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini juga dalam fasa akhir,” tambahnya.