ad

Atlet boling raih emas di Sukan SEA Pekak Jakarta

22 Ogos 2025, 1:24 PM
Atlet boling raih emas di Sukan SEA Pekak Jakarta

JAKARTA, 22 OGOS: Penantian beberapa dekad akhirnya terlerai buat atlet boling negara, Mohd Firdaus Mohamad apabila impian yang dipupuk sejak kecil kini menjadi nyata dengan merangkul pingat emas acara perseorangan lelaki di Sukan SEA Pekak 2025 di Jaya Ancol Bowling Centre, di sini, hari ini.

Kejayaan dengan catatan 1,302 mata itu bukan sekadar pencapaian peribadi, malah menjadi detik paling manis dalam karier atlet berusia 43 tahun itu yang mula mengenali sukan boling sejak berusia tujuh tahun.

“Syukur Alhamdulillah ke hadrat Ilahi. Hari ini yang saya nantikan. Buat pertama kali saya menang pingat emas dalam acara perseorangan. Sebelum ini, saya tak pernah dapat emas perseorangan dalam mana-mana pertandingan. Dulu pernah dapat emas acara trio.

“Saya bermain boling sejak tujuh tahun lagi. Mak saya yang mula mengajar daripada kecil, sampailah saya dewasa dan melanjutkan pelajaran,” katanya menerusi jurubahasa isyarat di sini, hari ini.

Anak jati Selangor itu mengakui bakat dan semangatnya datang daripada ibunya, Zaharah Md Dom, 69, bekas pemain boling era 1980-an yang menjadi guru pertama serta sumber inspirasinya hingga ke hari ini.

Meskipun berdepan cabaran komunikasi dengan jurulatihnya Tay Teck Kheng, Mohd Firdaus berkata mereka bijak mencari jalan seperti menggunakan aplikasi mesej dan tulisan bagi memastikan setiap teknik dan arahan difahami dengan tepat.

“Jurulatih tulis semua arahan dan teknik di buku latihan. Petua-petua itulah yang saya pegang sampai sekarang. Alhamdulillah, ia akhirnya membuahkan hasil dengan emas ini,” katanya.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Ho Choon Seong menambah kilauan buat kontinjen negara apabila meraih pingat perak dengan 1,249 mata manakala wakil Filipina, George C. Maniozo meraih gangsa dengan 1,226 mata.

Dalam acara perseorangan wanita pula, wakil Filipina, Maria Lovella Catalan merangkul emas dengan 1,127 mata, sementara dua pemain negara tidak pulang tangan kosong apabila Siong Mui Hong memenangi perak (1,085 mata) dan Siw Sing Hie meraih gangsa (1,045 mata).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.