SHAH ALAM, 22 OGOS: Penggunaan dron bagi pengawasan dan tinjauan udara keadaan sungai utama Selangor dilaksanakan setiap bulan secara berkala bagi meningkatkan keberkesanan kawalan pencemaran sumber air.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan pemantauan udara di sungai utama dan berkaitan itu membolehkan pihaknya memantau secara keseluruhan kawasan yang memberi impak aliran kepada sungai utama.
“Selain itu, penggunaan aset jentera air seperti bot di kawasan sungai atau sumber air bagi pemantauan secara lebih dekat bersama pensampelan kualiti,” katanya kepada Media Selangor.
Tambahnya, LUAS dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui Agensi Angkasa Malaysia (MySA) berjaya membangunkan sistem maklumat geografi dan data satelit iaitu Selangor Earth Surface Activity Monitoring System (SESAMS).
“Sistem ini membantu meningkatkan keberkesanan pemantauan LUAS melalui pemantauan aktiviti penggunaan tanah terutama melibatkan aspek kawasan badan air dan kawasan berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air di Selangor,” katanya.
Menurutnya, sepanjang tahun ini sehingga 31 Julai lalu, 11 kertas siasatan dibuka dan tiga kompaun dikeluarkan bagi kesalahan pencemaran sungai atau sumber air berbanding tempoh sama tahun lalu, mencatatkan 16 kertas siasatan dibuka dan lima kompaun dikeluarkan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof semalam memaklumkan sebanyak 27 sungai atau empat peratus daripada 672 sungai utama yang dipantau di seluruh negara pada 2024 berada pada tahap tercemar.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS), daripada 672 sungai berkenaan, 475 atau 71 peratus berada pada kategori bersih manakala 170 atau 25 peratus lagi berada pada tahap sederhana tercemar.
Sebelum ini, LUAS memaklumkan pencemaran sungai di negeri ini turun hampir sekali ganda dengan 31 kes setakat 15 Ogos berbanding 52 kes pada tahun lalu.