ad

Hitung detik gemilang, Selangor idam juara SUKMA 2026

24 Ogos 2025, 2:00 AM
Hitung detik gemilang, Selangor idam juara SUKMA 2026

Selepas menanti lebih dua dekad, temasya Sukan Malaysia (SUKMA) kembali ke Selangor tahun hadapan sejak kali terakhir dianjurkan pada April 1998.

Tarikh 15 hingga 24 Ogos 2026 bakal melakar detik penting dalam sejarah penganjuran sukan di Selangor, yang pastinya mahu temasya dwitahunan itu berjalan lancar dan meriah diikuti Para SUKMA pada 5 hingga 14 September.

Sebanyak 37 acara sukan dipertandingkan dengan jangkaan kehadiran lebih 10,000 atlet dan pegawai, menjadikan ia antara edisi terbesar dalam sejarah SUKMA yang dianjurkan kali pertama pada 1986 di Kuala Lumpur.

Lebih manis, buat pertama kalinya, perasmian edisi ke-22 yang bertema ‘Rentak Kita, Aksi Kita’ akan berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (Petronas SIC).

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (tengah) melancarkan Maskot SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam pada 15 Ogos 2025 . Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sejak pengumuman Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang memutuskan pemilihan Selangor sebagai tuan rumah, Kerajaan Negeri merangka pelan persiapan dengan melantik timbalan setiusaha Kerajaan Negeri sebagai ketua pegawai eksekutif sekretariat SUKMA.

Pelantikan Dato’ Mohd Yazid Sairi diumum EXCO Sukan Najwan Halimi berdasarkan pengalaman luasnya dalam bidang pentadbiran awam dan beliau juga timbalan ketua kontinjen Selangor pada SUKMA di Sarawak tahun lepas.

Tambahan acara

Bagi edisi ke-22, 30 acara wajib akan dipertandingkan dengan tambahan dua sukan wajib iaitu tinju dan sofbol, berbanding 28 sukan sebelum ini.

Jawatankuasa penganjur turut meluluskan tambahan tujuh jenis sukan iaitu e-sukan, kriket, catur, kabaddi, petanque, muay Thai dan silambam dalam temasya itu.

Temasya kali ini juga menyaksikan Selangor sebagai negeri kedua terakhir yang akan menganjurkan SUKMA diikuti Kelantan pada 2027 menggunakan format sedia ada.

Bagi memastikan kesinambungan dan konsistensi dalam pembangunan atlet, Jawatankuasa Tertinggi SUKMA turut mengkaji format baharu sebelum memutuskan sama ada Putrajaya atau Majlis Sukan Negara menjadi penganjur sekali gus mengakhiri kosep tuan rumah di peringkat negeri.

Pemilihan Petronas SIC sebagai lokasi perasmian dan rakan kerjasama strategik bakal menawarkan suasana segar dan berbeza daripada kebiasaan temasya yang berlangsung di stadium tertutup.

Kesempatan ini juga pastinya mahu dimanfaat negeri untuk memberikan pengalaman visual yang mengujakan peminat sukan dan menarik kunjungan pelancong ke Selangor.

Penganjuran tahun hadapan juga bakal melibatkan sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri, kecuali acara berbasikal trek yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.

Persediaan arena pertandingan giat dilakukan negeri dan setakat ini mencapai 50 peratus dengan sasaran semua naik taraf selesai menjelang Mac tahun hadapan.

Tumpuan utama ketika ini adalah pembaikan kemudahan sedia ada seperti Pusat Akuatik Darul Ehsan, Lapang Sasar Subang dan Stadium Hoki Pandamaran.

Strategi ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah menekankan penggunaan optimum kemudahan awam yang sejak sekian lama menjadi mercu tanda sukan negeri.

Konsortium penyiaran

Lima syarikat media termasuk Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) membentuk konsortium penyiar rasmi SUKMA 2026. Konsortium ini akan menjadi model penyiar sukan pertama seumpamanya dalam sejarah penganjuran SUKMA.

Selain MSSB, empat lagi syarikat media dipilih sebagai rakan rasmi adalah Astro, TV Sarawak, SGTV dan Arqiva UK.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama wakil rakan rasmi penyiaran sukan ketika majlis Pelancaran Logo, Maskot, Tema SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam pada 15 Ogos 2025 . Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

SGTV adalah syarikat penyiaran sukan reputasi tinggi di Asia Tenggara yang pernah terlibat dalam penyiaran Selangor Badminton Asia Team Championships 2024, Sukan SEA 2023 Phnom Penh dan Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Syarikat berpangkalan di United Kingdom, Arqiva UK merupakan penyedia kemudahan penyiaran antarabangsa dengan pengalaman lebih 100 tahun manakala MSSB, salah sebuah anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) yang berperanan sebagai media rasmi Kerajaan Selangor.

Insentif lumayan

Kerajaan Negeri juga sedia menambah jumlah insentif kemenangan sebanyak RM2,000 kepada pemenang pingat emas, jika Selangor muncul juara keseluruhan di laman sendiri.

“Kadar insentif sedia ada untuk atlet meraih emas dikekalkan iaitu RM10,000 diberi kepada atlet sukan individu, RM5,000 seorang (acara berpasukan bawah lima orang) dan RM3,000 seorang (acara berpasukan lebih lima orang). Jika Selangor menjadi juara keseluruhan, menjadikan jumlah baharu RM12,000, RM7,000 dan RM5,000,

“Bagaimanapun, jumlah ini masih boleh naik (ditambah). Kita ada setahun dari sekarang, saya akan ikut dan dapatkan analisis daripada jurulatih, Majlis Sukan Negeri dan sebagainya," umum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Helang Putih yang melambangkan kekuatan dan kesatuan dipilih sebagai maskot kejohanan. Maskot sama juga pernah digunakan pada SUKMA 1998 ketika kali pertama Selangor menjadi tuan rumah dan bergelar juara.

Selangor juga berazam menjadikan edisi kali ini sebagai titik tolak baharu bagi landskap sukan tempatan.

Kesungguhan ditunjukkan melalui persiapan teknikal, strategi inklusif dan elemen budaya jelas memperlihatkan kesediaan Selangor memikul tanggungjawab besar sebagai tuan rumah.

Segala perancangan rapi, SUKMA dan Para SUKMA 2026 diyakini bakal berlangsung dengan penuh gemilang serta meninggalkan legasi yang berpanjangan kepada generasi akan datang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.