ad

Kerja ganti paip pembentungan di Subang Jaya selesai

22 Ogos 2025, 6:46 AM
Kerja ganti paip pembentungan di Subang Jaya selesai

SUBANG JAYA, 22 OGOS: Kerja-kerja penggantian paip pembentungan di Jalan SS15/4 dan SS15/8 di sini selesai dengan peruntukan sebanyak RM2.74 juta.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata penggantian paip itu dilakukan berikutan pihaknya sering menerima aduan daripada penduduk dan pemilik kedai berhubung kerosakan sehingga mengakibatkan aliran kumbahan tersumbat.

“Sejak 2023, kita terima sebanyak 88 aduan berkaitan paip berusia lebih 30 tahun kerap rosak disebabkan tersumbat sehingga aliran kumbahan kembali masuk ke dalam premis.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (tengah) melawat di Paip Kumbahan yang telah siap pada sidang media Kerja-Kerja Penggantian Paip Kumbahan Indah Water Konsortium di SS15 Subang Jaya pada 22 Ogos 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Menggunakan dana sumbangan modal pembentungan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), penggantian paip selesai dalam tempoh 18 bulan berbanding yang ditetapkan 12 bulan.

“Penggantian paip pembentungan menggunakan paip tanah liat (VCP) bersaiz 225 milimeter ini dipasang di sepanjang 400 meter melibatkan 46 lot kedai,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, Michelle berkata berlaku kelewatan disebabkan terdapat beberapa cabaran ketika pembinaan khususnya keperluan mengawal pergerakan tanah.

“Kawalan pergerakan tanah perlu bagi memastikan struktur binaan tidak terjejas dan pembinaan berjaya kerana tiada kerosakan pada bangunan.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (dua kanan) pada sidang media Kerja-Kerja Penggantian Paip Kumbahan Indah Water Konsortium di SS15 Subang Jaya pada 22 Ogos 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Projek dilaksanakan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium ini dapat memanfaatkan 40,000 penduduk termasuk pekerja dan pelajar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Wilayah SPAN Ir Mohd Jalaludin Sulaiman menyeru peniaga di kawasan sekitar supaya mematuhi undang-undang dengan tidak membuang sisa buangan terlarang.

“Paip pembentungan ini merupakan aset awam dan menjadi kesalahan sekiranya pemilik premis tidak mematuhinya. Ini bagi memastikan sistem paip yang digunakan bertahan lebih lama mengikut tempoh ditetapkan.

“Peniaga yang tidak mematuhi boleh dikenakan tindakan mengikut Akta 655 Seksyen 61 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (AIPA),” ujarnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.