KUANTAN, 22 OGOS: Juruterbang dan Jurusensor Senjata pesawat pejuang F/A-18D Hornet yang terlibat dalam kemalangan di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di sini semalam sempat melaksanakan prosedur kecemasan dengan selamat, iaitu keluar menggunakan kerusi lontar (eject) sebelum pesawat itu terhempas.
Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata juruterbang Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, mengalami kecederaan di bahagian belakang serta melecur (satu peratus) di tumit kiri, manakala Jurusensor Senjata Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, 28, hanya mengalami lebam di beberapa bahagian badan.
Beliau berkata kedua-dua mereka yang sebelum ini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini telah dibenarkan keluar pada pukul 2 pagi tadi dan kini berehat di Rumah Sakit Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Saya sendiri turun ke lokasi kejadian pagi ini untuk mendapatkan gambaran menyeluruh berhubung insiden tersebut dan turut melawat dua pegawai berkenaan bagi menzahirkan sokongan moral kepada mereka,” katanya pada sidang media di Pangkalan Tentera Udara di sini hari ini.
Beliau berkata kemalangan itu berlaku ketika pesawat berkenaan sedang melakukan rutin latihan penerbangan malam.
-- BERNAMA


