Bekas tentera sebagai warden MRSM mula tugas, elak buli

21 Ogos 2025, 6:35 AM
Bekas tentera sebagai warden MRSM mula tugas, elak buli

SHAH ALAM, 21 OGOS: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mula melaksanakan projek rintis dengan penempatan bekas tentera sebagai warden Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau dan MRSM Besut sebagai langkah pencegahan buli dalam kalangan pelajar.

Pengerusinya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif dibuat selama enam bulan untuk tangani isu buli yang wajib dibanteras untuk memutuskan rantaian keganasan sosial tersebut.

Menurutnya lagi, kajian keberkesanan inisiatif itu akan dijalankan dengan kerjasama pihak ketiga iaitu Institut Kajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) dan jika hasilnya positif, pihaknya akan mempertimbangkan untu meluaskan skop kepada 57 MRSM.

“Ramai berpandangan termasuk daripada guru-guru dan masyarakat awam yang merasakan tugas warden tidak lagi sesuai digalas oleh guru secara sambilan dengan elaun tambahan yang tidak setimpal dengan tanggungjawab mereka.

“Malah bebanan tugas hakiki para guru juga tidak memungkinkan untuk mereka melaksanakan tanggungjawab tambahan sebagai warden yang memerlukan komitmen tinggi di luar waktu akademik.

“Inisiatif mengambil warden sepenuh masa dalam kalangan pesara anggota beruniform yang sudah melalui tapisan ketat dan berpandukan garis panduan jelas mengenai skop kerja mereka merupakan satu pendekatan yang MARA cuba cetuskan dengan teliti,” maklumnya menerusi Facebook.

Asyraf berharap inisiatif ini mampu membentuk proses untuk kemenjadian pelajar dalam membenteras gejala buli yang sudah lama berakar umbi dan membudaya dalam kalangan segelintir pelajar.