ad

EXCO: Waktu kerja anjal pastikan wanita tidak dipandang sebagai beban

21 Ogos 2025, 5:49 AM
EXCO: Waktu kerja anjal pastikan wanita tidak dipandang sebagai beban

PUTRAJAYA, 21 OGOS: Polisi waktu kerja anjal untuk wanita perlu diperluas kepada semua agensi dan syarikat bagi memastikan pekerja wanita tidak dilihat sebagai beban di pejabat.

EXCO Wanita Anfaal Saari berkata usaha itu susulan Laporan Jurang Gender Global 2025 yang mengumumkan Malaysia berada pada kedudukan tercorot dalam penglibatan wanita di sektor ekonomi.

“Kita mahu waktu kerja anjal ini dibuat sebagai satu polisi supaya wanita tidak dilihat sebagai individu yang hanya memohon cuti dan itu akan menjejaskan prestasi kerja mereka.

“Dari segi kajian perlu lebih menyeluruh sama ada di agensi kerajaan atau swasta kerana saya yakin dengan advokasi tentang keadilan dan kesaksamaan wanita,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Karnival Pemerkasaan Wanita anjuran kumpulan mahasiswa Pusat Pengajian Siswazah (UKM-GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Serbaguna Kompleks Kejiranan Presint 16 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anfaal berkata Kerajaan Negeri menerapkan konsep keilmuwan dan pendidikan dalam setiap inisiatif memberdaya wanita demi menjamin masa depan golongan itu.

Jelasnya, hanya dengan ilmu sahaja wanita mampu berdiri berdaya saing dan seterusnya memberi semangat kepada wanita lain untuk turut sama berusaha memajukan diri.

“Sebab itu kita wujudkan pendidikan seperti Akademi Kepimpinan Wanita dan Sidang Wanita kerana dengan kita mewujudkan sekumpulan wanita berilmu, mereka akan jadi pemangkin kepada lebih ramai wanita di luar sana,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.