HULU LANGAT, 20 OGOS: Projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 meraih tujuh pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai antara LRA tercanggih di negara ini berkait kepakaran dan teknologi moden.
Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) Dato’ Seri Ir. Jaseni Maidinsa berkata sepanjang tempoh pembinaan projek mega itu, PAAB berjaya merangkul tujuh pengiktirafan MBOR bagi tempoh tiga tahun berturut-turut dari 2023 hingga 2025.
Jelasnya, pada 2023, pengiktirafan MBOR diterima menerusi pakej 11 melibatkan kerja-kerja terowong mikro merentasi lima jajaran pengangkutan utama Lembah Klang iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, laluan MRT Bertingkat Fasa 2, Laluan Rel KTMB, laluan ERL dan Lebuhraya Besraya.
“Menerusinya, PAAB berjaya merangkul dua pengiktirafan MBOR iaitu saluran paip air terowong mikro terpanjang di Malaysia iaitu 331.50 meter dan zaluran paip air terowong mikro terdalam di Malaysia dengan purata kedalaman 25.2 meter.
“Pada 2024, PAAB meraih dua lagi pengiktirafan menerusi pakej 6A iaitu terowong air terawat dwifungsi terpanjang dalam negara dan terowong air terawat selari berkembar terpanjang di Malaysia masing-masing dengan bergaris pusat 3.2 meter dan 2.2 kilometer panjang.
“Pada Mei 2025, kejayaan pasukan kejuruteraan kami mendapat tiga lagi rekod kebangsaan melalui pakej tiga iaitu sistem paip conveyor sisa rawatan air pertama di Malaysia, sistem Paip Conveyor sisa rawatan air terpanjang dalam negara (1.92 kilometer) dan sistem skru ‘shaftless’ terpanjang di Malaysia (46 meter),” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perasmian LRA Langat 2 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar menyempurnakan perasmian LRA Langat 2, yang bakal memberi manfaat air bersih dan terawat kepada purata 350,000 akaun membabitkan kira-kira 1.87 juta pengguna di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.
Memiliki kapasiti berjumlah 1,130 juta liter sehari (JLH), LRA Langat 2 bernilai RM4.2 bilion itu melibatkan penyaluran air mentah dari Empangan Kelau menerusi muka sauk Sungai Semantan, Pahang yang disalurkan melalui terowong sepanjang 44.6 kilometer merentasi Banjaran Titiwangsa.