SHAH ALAM, 20 OGOS: Produk agro pelancongan seperti Selangor Fruit Valley (SFV), Ladang Farm Fresh dan HL Dragon Fruit Farm mencatat sambutan luar biasa sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata tawaran pengalaman unik yang menggabungkan rekreasi dengan aktiviti pertanian menjadikan produk agro pelancongan sebagai pilihan utama keluarga.

“Ikut rekod melalui pameran seperti Selangor Travel Fair, produk pelancongan agro mencatat jualan tertinggi. Ia disukai pelancong tempatan kerana pakej keluarga yang ditawarkan menarik minat mereka.
“Pakej ini amat sesuai untuk percutian hujung minggu, memberi ruang keluarga beriadah sambil menikmati buah-buahan segar di ladang seperti SFV dan HL Dragon Fruit,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau turut memaklumkan Subang Jaya kini menjadi daerah paling banyak menerima kedatangan pelancong antarabangsa, khususnya dari China.
“Pelancong China banyak membeli pakej lawatan ke Subang melalui pameran Pavilion Selangor di luar negara. Pusat Membeli-Belah Sunway Pyramid dan Taman Tema Splash Mania menjadi tarikan utama,” ujarnya.

Menurut Yee Ling, seramai 4.1 juta pelancong domestik dan antarabangsa direkodkan mengunjungi Selangor sehingga Julai tahun ini.
Tourism Selangor akan memperhebat promosi melalui penyertaan di Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta Fair) 2025 pada September dengan penglibatan lebih banyak vendor.
“Di luar negara, kita akan sertai sales mission di Taiwan dan China bagi memastikan sasaran TMS2025 tercapai,” katanya.
Kerajaan Negeri menyasarkan kehadiran lapan juta pelancong ke Selangor tahun ini dengan potensi transaksi berjumlah RM11.7 bilion.






